Goldman Sachs lantik peguam perhati perbicaraan 1MDB Najib

Gambar Bloomberg.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Goldman Sachs Inc melantik seorang peguam sebagai pemerhati bagi perbicaraan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Bank Amerika Syarikat itu diwakili peguam tempatan, Chetan Jethwani yang akan menjadi pemerhati dalam perbicaraan yang dijadualkan bermula 26 Ogos ini.

Peguam yang dilantik sebagai pemerhati, di mana anak guamnya tidak terbabit secara langsung dalam perbicaraan sesuatu kes, boleh mendapat kenyataan saksi dan dokumen di mahkamah, tetapi mereka tidak dibenarkan menyoal saksi atau menyerahkan bukti.

Malaysia memperhebatkan usaha untuk mendakwa Goldman Sachs dengan mengumumkan pertuduhan jenayah terhadap 17 bekas pengarah dan pengarah sedia ada, selepas 3 unit bank itu didakwa tahun lalu.

Peguam Negara, Tommy Thomas mendakwa syarikat itu mengelirukan pelabur dengan mengatur jualan bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB yang menjadi tumpuan berpuluh pertuduhan dihadapi Najib.

Perbicaraan kedua Najib membabitkan kira-kira 25 pertuduhan pengubahan wang dan rasuah dikaitkan dengan usaha sama, jualan aset dan hutang 1MDB.

Perbicaraan pertamanya tertumpu kepada transaksi tempatan oleh sebuah bekas anak syarikat 1MDB, manakala perbicaraan akan datang akan mengesan aliran tunai global dari Singapura ke Abu Dhabi.