Ibu bapa Nora Anne tak jumpa kumpulan agama, kata polis

Daily Mail hari ini mendakwa polis membawa Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin berjumpa kumpulan agama pada 12 Ogos lalu, sehari sebelum mayat Nora Anne Quoirin ditemui. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Polis menafikan laporan media asing yang ibu bapa Nora Anne Quoirin menemui kumpulan agama selepas kebuntuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop mengesahkan beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawai berbuat demikian.

“Tiada keperluan pun (berbuat sedemikian),” katanya ringkas menerusi WhatApps kepada Bernama hari ini.

Akhbar Britain, Daily Mail hari ini melaporkan polis membawa ibu bapa Nora berjumpa kumpulan agama kerana menemui jalan buntu dan tertekan beberapa hari selepas SAR dimulakan.

Laporan itu mendakwa ia dilakukan pada Isnin minggu lalu, sehari sebelum mayat Nora ditemui.

Nora bersama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia pada 3 Ogos lalu untuk percutian 2 minggu.

Mayat Nora ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, iaitu 2.5km dari resort penginapannya pada hari ke-10 operasi SAR yang dimulakan sejak 4 Ogos lalu.

Laporan bedah siasat pada Khamis lalu mendapati kematian Nora tiada unsur jenayah dan beliau maut akibat kebocoran usus kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Keluarga Nora menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Tuanku Jaafar Seremban pada Jumaat lalu, selepas proses dokumentasi selesai.

Sementara itu, Mohamad berkata, keluarga Nora meninggalkan resort penginapan mereka di Pantai pada Sabtu lalu untuk pulang ke negara mereka.