Jangan benarkan Lynas bina pusat lupus sisa radioaktif di Pahang, kata Fuziah

Fuziah Salleh berkata, lebih sejuta tan sisa terjadual dan 500,000 metrik tan sisa WLP dihasilkan kilang Lynas di Gebeng, Pahang ketika ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menggesa kerajaan Pahang tidak membenarkan Lynas membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) yang dihasilkan loji memproses nadir buminya di Gebeng.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang bertegas mahu lesen operasi Lynas dihentikan, meminta kerajaan negeri pimpinan Wan Rosdy Wan Ismail membuat pendirian tetap demi keselamatan penduduk.

Katanya, sejak mula beroperasi pada 2012 sehingga kini, lebih sejuta tan metrik sisa terjadual dan 500,000 tan metrik sisa radioaktif WLP dihasilkan Lynas.

“Sisa radioaktif Lynas mengandungi thorium yang mempunyai jangka hayat 14 bilion tahun.

“Jika diluluskan, Lynas memerlukan 100 kali ganda tapak pelupusan seperti kilang Asia Rare Earth Sdn Bhd di Bukit Merah.

“Dalam tempoh 4 tahun lagi, sisa radioaktif WLP akan meningkat berganda. Cukuplah negeri ini menanggung beban Lynas sebelum ini dan kita tidak seharusnya menanggung beban berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Rosdy dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini berkata, kerajaan negeri tidak pernah berbincang dengan Lynas dan belum menerima sebarang permohonan rasmi mengenai lokasi PDF yang merupakan antara 3 syarat pembaharuan lesen operasinya selama 6 bulan.

“Jika ada perbincangan atau permohonan sekalipun, sudah pasti kerajaan negeri akan beri keutamaan kepada keselamatan rakyat. Itu kita amat jelas. Kita tidak akan buat semberono dalam isu keselamatan rakyat.

“Dalam masa sama, ini juga melibatkan aspek pelaburan kerana Lynas melabur sehingga bilion di negara ini. Kita akan teliti semua aspek dalam isu ini. Kita mendengar pandangan pakar. Jika pakar kata ia (Lynas) tidak bahaya, maka kita beri perhatian,” katanya dipetik Bernama.

Khamis lalu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengumumkan lesen operasi Lynas disambung 6 bulan berbanding kebiasaan 3 tahun, tetapi dengan 3 syarat.

Syarat pertama ialah membina kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara dalam masa 4 tahun daripada tarikh lesen diperbaharui dan ia tidak boleh menghasilkan sisa radioaktif melebihi 1 becquerel per gram di Gebeng selepas itu.

Syarat kedua ialah mengenal pasti tapak pembinaan PDF dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri, serta mengemukakan kebenaran rasmi bertulis daripada pihak berkuasa negara lain untuk membawa keluar sisa WLP ke negara terbabit.

Syarat ketiga ialah menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula sisa WLP sebagai “Condisoil” dalam bidang pertanian serta 0.5% hasil jualan kasar setiap tahun yang digunakan untuk R&D diserahkan kepada Putrajaya sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara mula beroperasi.