Sistem kawalan canggih: Kawasan perumahan lebih selamat, terjamin

Sistem perumahan akan dilengkapi dengan sistem peranti yang menjadi penghubung antara rumah dan pondok pengawal.

Dalam zaman yang serba moden ini, pelbagai sistem keselamatan dicipta semata-mata hendak memberi perlindungan kepada sesiapa sahaja.

Namun ada masanya kawasan perumahan itu tetap diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun kini dengan adanya teknologi yang semakin canggih dilengkapi kemudahan lebih moden serta efektif bagi membantu sistem keselamatan dapat mengekang daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Alat tersebut akan mengimbas kad pengenalan pelawat sebelum dibenarkan masuk ke dalam kawasan perumahan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi kumpulan Time Tec, Norana Johar, selain perkhidmatan keselamatan bagi rumah yang dibangunkan terutamanya kediaman “berpagar dan berpengawal” (Gated & Guarded Housing), beberapa alat canggih tetap perlu dipasang.

Contohnya, kamera CCTV, sistem pengurusan pelawat (Visitor Management System) dan kad akses kepada pemilik bagi tingkat tertentu.

“Kadang kala kita menerima pelawat di sebuah kediaman yang kita tak tahu sebenarnya kehadiran pelawat itu.

“Jadi kita cipta satu alat yang pemilik rumah boleh mengesan siapa pelawat yang datang ke rumahnya apabila mereka sampai di pondok pengawal kediaman tersebut,” katanya kepada FMT.

Segala data dan maklumat akan disimpan sebaik sahaja diimbas sebagai rekod masa hadapan.

Uniknya teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Time Tec, pelawat hanya perlu memasukkan kad pengenalan dalam mesin yang disediakan, kemudian segala data boleh diakses dan disimpan bagi tujuan rekod di masa hadapan.

Dan kelebihan kepada sistem ini adalah ia hanya menggunakan telefon pintar tanpa memerlukan tambahan peralatan serta semua kawalan menggunakan sistem aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar semua pengguna.

“Mesin ini mampu mengesan sama ada individu tersebut berbahaya atau tidak, dan pengawal keselamatan akan menghubungi penyewa atau pemilik rumah dengan segera bagi mendapatkan pengesahan.

Segala maklumat akan diperincikan, sekaligus mengurangkan kadar penipuan oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab.

“Kemudian, pemilik rumah itu boleh memberi kebenaran dengan menekan butang di dalam applikasi tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Norana turut berkata segala aduan dan laporan mengenai kerosakan yang berlaku di sekitar kawasan perumahan boleh dibuat menerusi applikasi tersebut sekaligus menjimatkan masa untuk mereka untuk pergi ke pejabat.

“Ini semua langkah dan alternatif kita lakukan sebagai tujuan kesedaran bagi membantu mereka mengawasi kegiatan anak mereka di rumah dan mengesan penceroboh jika ada, semua ini boleh dipantau melalui applikasi yang dimuat turun dalam telefon pintar anda sahaja,” ujarnya lagi.

Selain itu, “panic button” juga boleh diperolehi dalam applikasi yang sama.

“Antara permasalahan yang dihadapi adalah keselamatan membabitkan kanak-kanak, warga emas atau individu kurang upaya kerana pergerakan mereka ini perlu dipantau terutamanya bagi kanak-kanak bertujuan mengelak daripada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Ini kerana mereka mungkin terdedah kepada kemalangan atau bahaya penculikan, inilah kegunaan ‘panic button’ untuk mereka,” katanya lagi.

Anda boleh menekan ‘panic button’ dalam sistem yang dimuat turun di dalam telefon pintar anda.

Bagaimanapun jelas Norana, Time Tec kini menawarkannya secara percuma dalam program CSR syarikat tersebut.

Apa yang perlu setiap perumahan lakukan dengan memohon terus ke Time Tec selepas mendapat kelulusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) seterusnya aplikasi serta peralatan yang bernilai RM13,300 akan diberi secara percuma untuk penggunaan selama setahun.

Dalam program CSR ini, Time Tec memperuntukkan RM8,000,000 dengan kerjasama UOB Bank untuk diberikan kepada 600 perumahan yang layak.

Dan sehingga kini lebih 80 permohonan telah diterima.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]