Krim kilo: Kecantikan dikejar, sengsara yang dapat

Keinginan untuk kelihatan cantik adalah sesuatu kehendak yang semula jadi.

Bahkan ia merupakan sebahagian daripada fitrah manusia untuk suka kelihatan cantik dan juga untuk melihat kecantikan.

Khususnya untuk golongan wanita, kecantikan dan kaum hawa tidak dapat dipisahkan.

Terdapat pelbagai produk penjagaan diri dan produk kosmetik yang diguna pakai demi memelihara kecantikan diri dan juga untuk menambah seri wajah mereka.

Namun kebanyakan produk kecantikan yang berada di pasaran dijual dengan harga yang agak mahal.

Lebih baik kualitinya, lebih mahal harganya.

Untuk itu, penjagaan kecantikan diri adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dikekalkan.

Akibat daripada tekanan harga produk kosmetik dan penjagaan diri yang mahal ini, ramai wanita bertindak mencari alternatif lain yang lebih murah.

Salah satu daripada alternatif tersebut adalah dengan membeli dan menggunakan krim kosmetik yang disebut sebagai krim timbang kilo ataupun krim kilo.

Apa itu krim kilo?

Krim kilo adalah krim kosmetik yang dibeli secara pukal mengikut timbangan berat krim.

Krim ini, dan juga bahan kosmetik yang lain, dihasilkan oleh sejenis kilang yang disebut sebagai kilang OEM (Original Equipment Manufacturer).

Kilang ini menghasilkan pelbagai jenis bahan seperti serbuk makanan, serbuk minuman, makanan tambahan, krim sapu, krim penjagaan wajah, krim siang dan juga krim malam.

Kesemua produk tersebut dihasilkan dalam kuantiti yang banyak bagi membolehkan orang ramai membeli secara pukal dan dijual semula mengikut ketetapan mereka.

Antara faktor utama yang menyebabkan produk kosmetik dan penjagaan diri seperti krim kilo ini mula melonjak dalam populariti adalah kerana pengiklanan daripada selebriti, artis dan juga golongan instafamous (individu yang ramai pengikut di lama instagram) melalui platform media sosial.

Malahan, terdapat juga golongan-golongan ini yang mendakwa sebagai pengasas kepada produk-produk krim ini, dengan menjaja iklan dan dakwaan seperti “produk kami diformulasikan oleh pakar kecantikan” atau mengaitkan kecantikan diri mereka dengan produk yang mereka jual dan sebagainya.

Strategi seperti ini dilakukan untuk meningkatkan keyakinan pengguna sehingga dapat meyakinkan mereka untuk menggunakan produk yang mereka jual.

Hakikatnya, hampir kesemua “pengasas” ini langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang produk kecantikan dan langsung tidak terlibat dalam sebarang proses penghasilan bahan yang mereka jual.

Sebaliknya, bahan kosmetik seperti krim kilo ini dibeli secara pukal daripada kilang-kilang OEM dari negara seperti Thailand (kini terdapat juga beberapa kilang OEM tempatan yang menghasilkan produk yang sama) dan dibungkus semula mengikut cita rasa mereka.

Ini bermakna, sesiapa sahaja yang mempunyai wang yang mencukupi mampu untuk membeli krim kilo ini dan kemudiannya, membungkus produk ini semula dalam kotak atau bungkusan jenama mereka mengikut sukatan yang mereka hendak.

Produk yang siap dibungkus ini kemudiannya dipasarkan di pasaran tempatan seolah-olah ia adalah produk yang dihasilkan sendiri oleh mereka.

Oleh itu, di sebalik kewujudan pelbagai jenama produk kecantikan yang berbeza di pasaran, bahan yang dijual sebenarnya datang daripada sumber yang sama, cuma dijenamakan semula untuk memberikan persepsi seolah-olah terdapat perbezaan antara satu produk dengan yang lain.

Disebabkan ini jugalah, produk-produk ini tidak mempunyai maklumat profil keselamatan, maklumat bahan yang terkandung di dalamnya dan juga tidak mempunyai maklumat kilang di mana ia dihasilkan.

Pulangan yang cukup lumayan

Untuk timbangan berat sekitar satu kilogram, mengikut jenis dan spesifikasi, krim timbang kilo ini mampu dibeli dengan harga hanya sekitar RM 500.

Krim kilo ini kemudiannya dijual semula dengan harga sekitar RM 25 hingga RM 30 bagi pek yang hanya mengandungi kuantiti sebanyak 5 gram, menghasilkan pulangan yang berlipat kali ganda.

Jika dijual dalam bentuk set krim siang dan malam, lebih banyak keuntungan yang dapat diperoleh.

Oleh itu, pembelian krim kilo ini merupakan satu prospek bisnes yang cukup lumayan.

Maka tidak hairanlah mengapa ramai selebriti dan juga golongan instafamous menerjun ke dalam bisnes ini.

Kelebihan berada di pihak mereka juga kerana faktor pengaruh kuat, peminat yang ramai dan juga kecantikan semula jadi mereka.

Bahan beracun dalam produk kosmetik

Lazimnya, apabila sesuatu dapat dibeli dan dijual dengan harga yang lebih murah berbanding produk saingan yang berada dalam pasaran, ia mungkin ketinggalan dari segi kualiti dan juga keselamatan.

Begitulah hakikatnya dengan produk krim kilo ini di mana terdapat pelbagai bahan beracun yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa.

Pada bulan Ogos 2019 sahaja, 7 produk kosmetik yang berada di pasaran telah dikenal pasti dan dilarang penjualannya kepada pengguna.

Antara bahan beracun yang popular dalam produk kosmetik seperti krim kilo ini adalah raksa atau merkuri, kompaun hidroquinon dan juga kompaun tretinoin.

Kewujudan bahan beracun seperti bahan tersebut dalam produk kosmetik adalah sesuatu yang cukup membimbangkan namun ia bukanlah satu masalah yang baru.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Agensi Regulasi Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) telah menjalankan beberapa siri siasatan ke atas pelbagai jenis produk kosmetik yang dijual di dalam negara.

Hasil tindakan pihak berkuasa semenjak bertahun yang lalu, banyak produk-produk kosmetik telah dilarang penjualannya dan denda telah dikenakan kepada pihak penjual.

Masyarakat awam juga telah diberi peringatan dan juga amaran untuk lebih berhati-hati agar tidak menggunakan produk-produk yang telah mereka senaraikan sebagai berbahaya.

Produk kosmetik yang mengandungi raksa lazimnya dipasarkan sebagai produk pemutih kulit, krim antipenuaan dan juga produk yang memberikan tona warna kulit yang lebih sekata.

Raksa yang terdapat dalam kosmetik biasanya wujud dalam bentuk organik atau bukan organik.

Punca mengapa ia kerap dijadikan bahan yang dicampurkan dalam bahan kosmetik adalah kerana garam melanin menghalang pembentukan melanin.

Memandangkan melanin bertanggungjawab dalam menghasilkan pigmen, menghalang penghasilan melanin akan menghasilkan kulit yang lebih cerah.

Selain itu, merkuri organik seperti etilmerkuri dan garam merkuri fenil turut digunakan sebagai pengawet dalam produk kosmetik.

Secara amnya, gambaran yang menyeluruh untuk gangguan atau kesan kesihatan akibat daripada keracunan raksa adalah simptom gastrousus, gangguan neurologi dan juga disfungsi buah pinggang.

Kesan kerosakan buah pinggang yang dilaporkan akibat daripada keracunan bahan ini boleh membabitkan kewujudan protein dalam air kencing sehinggalah kegagalan terus organ buah pinggang.

Dalam sesetengah individu, khususnya mereka yang terdedah kepada raksa melalui pekerjaan, akan kembali pulih selepas mereka dipindahkan daripada sumber raksa untuk beberapa minggu.

Namun yang demikian, apa yang cukup merisaukan adalah simptom neurologi akibat daripada keracunan merkuri ini berupaya untuk terus kekal walaupun pendedahan kepadanya telah dihentikan.

Seperti yang dinyatakan, selain raksa, racun berkala lain juga turut ditemui.

Berdasarkan garis panduan regulasi, produk yang mengandungi bahan racun berkala seperti hidroquinon, tretinoin dan juga difenhidramin memerlukan kawalan yang lebih ketat dan tidak boleh dipasarkan begitu sahaja sebagai bahan kosmetik awam.

Sebaliknya, ia perlu didaftarkan dengan Badan Kawalan Ubat (DCA) dan hanya boleh digunakan selepas mendapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor.

Tanpa penyeliaan dari sudut kuantiti dan penggunaan hidroquinon, ia boleh menyebabkan tidak balas alahan, keradangan kulit dan juga peningkatan risiko untuk menghidap kanser kulit.

Bahan kosmetik yang mengandungi tretinoin pula dipasarkan sebagai krim anti jerawat dan untuk mengurangkan kedutan pada kulit.

Namun ia adalah bahan terkawal yang boleh mengakibatkan keguguran janin atau kecacatan bayi jika seseorang yang menggunakannya itu sedang berbadan dua.

Bagi mengelakkan penggunaan bahan beracun, pengguna digalakkan untuk menyemak terlebih dahulu produk kosmetik yang mereka ingin gunakan di laman web NPRA.

Jual beli bahan beracun dalam kosmetik tersebut adalah salah di bawah Akta Kawalan Ubat dan Kosmetik 1984 dan hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah denda RM 25,000 atau penjara sehingga 3 tahun.

Jangan kerana inginkan kecantikan, sengsara yang dapat.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]