Lelaki dipenjara seminggu ceroboh rumah ibu Najib

Majistret memerintahkan Muhammad Nur Akmal Azisham menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 15 Ogos lalu dan tambahan penjara 3 bulan jika dia gagal membayar denda.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihukum penjara seminggu dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menceroboh rumah ibu bekas perdana menteri, Najib Razak pada Khamis lalu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Akmal Azisham, 21, yang mengaku bersalah memasuki rumah Rahah Mohd Noah di Jalan Eaton, Off Jalan Tun Razak, di sini pada 9.46 malam 15 Ogos lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 15 Ogos lalu dan tambahan penjara 3 bulan jika gagal membayar denda.

Dia dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika ditanya majistret mengapa dia menceroboh rumah itu, Akmal berkata, dia tidak tahu dan tidak ingat.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syakirin Yaccob memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama, bagaimanapun Akmal yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan atas alasan dia masih bujang.

Tertuduh akan menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang.