Lesen Lynas diperbaharui berdasar pendapat pakar dan fakta, kata Redzuan

Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof berkata, kerajaan mengambil langkah amalan terbaik dalam memperbaharui lesen Lynas.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof mempertahankan keputusan kerajaan untuk memperbaharui lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd dengan berkata, ia dibuat berdasarkan pendapat pakar dan fakta.

“Ada pihak yang mendakwa Lynas tidak selamat sedangkan kerajaan mengambil langkah amalan terbaik dalam memperbaharui lesen berkenaan.

“Kita harus memeriksa laporan bebas yang jelas menyebut bahawa kita tidak mengabaikan isu keselamatan dan alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Minggu Usahawan Nasional yang akan diadakan dari 29 Ogos hingga 1 Sept depan.

“Kerajaan telah mendedahkan laporan itu kepada awam dan kita perlu mencapai perimbangan selepas ini.”

Redzuan berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa kilang di Gebeng, Kuantan, adalah selamat selagi syarat yang ditetapkan dilaksanakan.

Minggu lepas, Putrajaya bersetuju untuk memperbaharui lesen operasi Lynas selama 6 bulan, justeru menamatkan spekulasi berkenaan nasib kilang pemprosesan nadir bumi yang terawang-awang sejak pilihan raya umum 9 Mei thun lepas.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), yang terletak di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, pembaharuan lesen tersebut disertakan dengan beberapa syarat.

Ia berkata, Lynas perlu mengenal pasti tapak pelupusan kekal sisa (PDF) berserta kelulusan bertulis kerajaan negeri berkaitan atau mendapat kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa mana-mana negara bagi memindahkan sisa tersebut ke sana.

Syarikat juga perlu membina kemudahan “cracking and leaching” di luar Malaysia dalam tempoh 4 tahun dari tarikh pembaharuian lesen.

Berikutan itu ia tidak dibenarkan mengeluarkan sisa radioaktif melebihi 1 becquerel bagi setiap gram di kilangnya.