Mufti Perlis setuju Zakir Naik dihantar pulang tapi bersyarat

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini secara terbuka menyokong Zakir Naik. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin setuju jika penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India, tetapi ia perlu dilakukan dengan bersyarat.

Memetik Harian Metro, Asri dilaporkan berkata syarat utama adalah Naik mesti mengadakan satu dialog dengan wakil kumpulan atau pihak yang menggesanya pulang ke India.

“Kenapa tidak dianjurkan satu dialog antara Zakir dengan mereka yang tidak berpuas hati dengannya, seperti dialog antara beliau bersama (Menteri Sumber Manusia) M Kula Segaran.

“Jika Zakir kalah, saya akan menjadi orang pertama meminta Zakir tinggalkan negara ini.

“Begitu juga dengan Kula, jika dia kalah, dia perlu pertimbangkan ke mana dia mahu pergi selepas itu,” katanya.

Jika kerajaan mahu menghalau naik pulang kerana beliau bukan warganegara, Asri berkata, ramai lagi pendakwah atau guru agama lain yang bukannya warganegara tinggal di Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri tahu mengenai status mereka.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataan Naik kelihatan seperti beliau mahu melibatkan diri dalam politik negara.

Katanya, kenyataan Naik jelas menimbulkan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat.

Mahathir menegaskan penceramah agama asing dialu-alukan berceramah, tetapi tidak patut mencampuri urusan politik Malaysia.

Desakan untuk Naik dihantar pulang ke India meningkat, susulan ceramahnya di Kelantan baru-baru ini yang mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Beliau yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang turut dilaporkan berkata, orang Cina juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Tetapi, Naik kemudiannya mendakwa komennya mengenai orang Cina bertujuan “menempelak ahli politik Cina berpengaruh” yang bersetuju dengan pihak yang menggelarnya “tetamu” di Malaysia.