Pahang belum terima permohonan Lynas untuk tapak lupus sisa radioaktif

Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan persekutuan terdahulu yang membawa masuk pelaburan Lynas menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. (Gambar fail)

KUANTAN: Kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd belum mengemukakan permohonan rasmi secara spesifik lokasi kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) yang dikatakan akan dibangunkan di Pahang.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata setakat ini, kerajaan negeri juga tidak pernah berbincang dengan Lynas mengenai isu PDF yang merupakan sebahagian syarat pembaharuan lesen operasi kilang itu.

“Jika ada perbincangan atau permohonan sekalipun, sudah pasti kerajaan negeri akan beri keutamaan kepada keselamatan rakyat. Itu kita amat jelas. Kita tidak akan buat semberono dalam isu keselamatan rakyat.

“Dalam masa sama, ini juga melibatkan aspek pelaburan kerana Lynas melabur sehingga bilion di negara ini. Kita akan teliti semua aspek dalam isu ini. Kita mendengar pandangan pakar. Jika pakar kata ia (Lynas) tidak bahaya, maka kita beri perhatian.

“Jika bukan pakar, siapa lagi yang hendak kita dengar. Kita bukannya pakar dalam bidang ini, sudah pasti kerajaan negeri tidak akan buat sesuatu yang membahayakan rakyat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Semambu) yang merujuk laporan sebuah akhbar mendakwa 5 lokasi di Pahang dikenal pasti sebagai lokasi berkemungkinan untuk PDF, iaitu Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.

Beliau berkata, Lynas yang berasal dari Australia dan kini beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng di sini, merupakan pelaburan yang dibawa masuk kerajaan persekutuan terdahulu menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Kenyataan itu disokong Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri, Mohd Sharkar Shamsuddin yang berkata, kerajaan persekutuan terdahulu mencadangkan Lynas beroperasi di Pahang.

“Jadi, sekarang kita menunggu jawapan kerajaan pusat… jika mereka kata (Lynas) selamat, maka selamatlah. Kerajaan negeri bukan ada kepakaran seperti kerajaan persekutuan yang ada pelbagai kepakaran teknikal.”

Sharkar berkata, kepakaran teknikal itu termasuk Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia yang lebih terlatih dalam bidang berkaitan operasi Lynas serta radiasi.