Selepas 6 jam, polis sambung ambil keterangan Zakir Naik

Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Selepas 6 jam sejak petang tadi, polis menyambung semula mengambil keterangan daripada pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik malam ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Naik hadir ke Bukit Aman pada hari ke-2 bagi dirakam percakapannya, setelah hadir pertama kali pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata Naik telah datang ke pejabat D5 bersama peguamnya, Akberdin Abdul Kadir.

“Ini bagi sambungan percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Sambungan percakapan telah dihentikan untuk salat Maghrib dan kini disambung semula,” katanya.

Lebih kurang 20 wakil media mula berkumpul dari jam 12 tengah hari di hadapan bangunan Bukit Aman, di sini.

Naik dan keluarganya terpaksa membatalkan hasrat menyertai program “Malaysia Reverts Camp 2019” di Perlis Jumaat lalu, selepas polis negeri melarang mereka berucap atau memberi ceramah di negeri itu.

Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd dilaporan berkata, lebih 150 laporan dibuat terhadap Naik setakat ini, susulan kenyataan kontroversinya dalam satu siri ceramah di Kelantan minggu lalu yang mencetuskan ketegangan.

Desakan supaya Naik dihantar pulang ke India meningkat, susulan ceramahnya berkenaan yang antara lain mendakwa penganut agama Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Naik yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan mempunyai status penduduk tetap di Malaysia turut dilaporkan berkata, orang Cina juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Bagimanapun pun Khamis lepas, Zakir berkata, komennya mengenai orang Cina itu bertujuan “menempelak ahli politik Cina berpengaruh” yang bersetuju dengan pihak yang menggelar dirinya sebagai “tetamu” di Malaysia.

Beliau turut mendakwa mereka memetik ceramah itu di luar konteks dengan tujuan untuk memfitnahnya.