Taikun Perak beri keterangan pada polis atas komen hina tentera

Koon Yew Yin ialah pengasas Gamuda Bhd dan hartawan terkenal.

IPOH: Pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin hadir di Balai Polis Jelapang, di sini, hari ini berhubung kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dianggap sesetengah pihak sebagai menghina.

Beliau tiba di perkarangan balai polis itu dengan menaiki kenderaan BMW yang dipandu seorang wanita pada 2.55 petang tadi.

Wanita itu ketika ditemui pemberita selepas menurunkan Koon di pintu masuk balai enggan memberi kenyataan, sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada lebih 10 wartawan yang menunggu kehadiran mereka sejak 2.30 petang.

Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng yang juga peguamnya tiba pada 3.10 petang.

Bagaimanapun, wartawan tidak dapat memasuki balai polis itu kerana pintu pagar dikunci polis.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, taikun itu dipanggil polis susulan laporan terhadapnya yang mendakwa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa, kecuali makan dan tidur”.

“Sebenarnya, hampir semua (daripada) mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan di papan sasaran. Sebahagian perlu menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” tulisnya di blognya pada 14 Ogos lalu.

Koon memohon maaf selepas menerima tekanan pelbagai pihak, termasuk Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sementara itu, Koon keluar dari Balai Polis Jelapang bersama isteri dan Leong pada 5.30 petang tadi.

“Polis menasihatkan saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media.”

Leong berkata, Koon memberi kerjasama kepada pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang mengambil keterangannya.

“Pihak polis nampaknya berpuas hati dengan kerjasama diberikan Koon. Setakat ini, polis tidak akan memanggil Koon lagi untuk mengambil keterangannya,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.