Wujud sistem satu sekolah, ketepi perkara remeh, gesa pemimpin PPBM

Ahli majlis tertinggi PPBM Tariq Ismail.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PPBM hari ini mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sistem satu sekolah berikutan bantahan persatuan pendidikan Cina Dong Zong terhadap langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat di sekolah vernakular yang menimbulkan kontroversi berpanjangan.

Ahli majlis tertinggi PPBM, Tariq Ismail berkata, kerajaan perlu menjadikan sekolah kebangsaan lebih baik daripada sekolah vernakular.

“Kerajaan tak perlu beri apa apa peruntukan atau sumbangan kepada sekolah vernakular,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Tariq juga mencadangkan supaya semua sekolah, tanpa mengira sekolah kebangsaan atau sekolah Cina, hendaklah memastikan semua pelajar mempelajari Rukun Negara.

Beliau berkata, perkara itu perlu diwajibkan dan peperiksaan mengenai diadakan setiap tahun.

“Kalau ada bantahan atas cadangan ini, ia bukan rasis, tetapi satu pengkhianatan.

“Jika kita tidak dapat membetulkan orang dewasa untuk berfikir secara rasional, (maka) kita boleh memperbaiki anak-anak kita,” katanya.

Dalam pada itu Tariq berkata, rakyat harus memberi tumpuan kepada isu lebih besar yang perlu dihadapi negara, bukannya bergaduh tentang perkara remeh.

“Nak gaduh lagi pasal khat adalah permulaan Islamisasi? Nak gaduh lagi pasal apa yang Dr Zakir Naik ucap,” katanya merujuk kepada kontroversi penceramah warga India itu yang didakwa menimbulkan ketidaktenteraman awam dalam ceramahnya di Kota Bharu minggu lepas.

“Apabila kita melawan antara satu sama lain pasal perkara yang remeh, perkara lebih besar akan merayap dan esok kita akan bangun menjadi hamba kepada syarikat asing,” katanya.

Tariq berkata, antara perkara besar yang perlu diberikan perhatian, termasuklah isu liberalisasi sektor tenaga, yang akan menyebabkan penyumbang utama kepada ekonomi negara itu akan hilang pendapatan, sementara kontraktor Melayu yang terlibat dalamnya akan kehilangan pekerjaan.

“Akhirnya, kontraktor Cina pun akan mati kerana orang asing yang mempunyai modal akan mengawal (industri) tenaga Malaysia,” katanya.