Zakir Naik dipanggil ke Bukit Aman petang ini

Zakir Naik memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama pada Jumaat lalu atas dakwaan menghina dan menggugat ketenteraman awam.

KUALA LUMPUR: Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik akan dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Naik dipanggil ke Bukit Aman 3 petang ini untuk menyambung keterangannya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Jumaat lalu, Naik memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan di bawah kanun sama.

Naik dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 8 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap orang Cina Malaysia dengan berkata, mereka perlu keluar dari negara ini sebagai respons kepada desakan pengusirannya dari negara ini.