Ahli Parlimen DAP gesa kerajaan ambil pekerja Utusan

Hampir 100 pekerja Utusan mengadakan piket di depan ibu pejabat akhbar itu bagi menuntut tunggakan gaji selama 3 bulan, semalam.

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat DAP mencadangkan kerajaan menawarkan “pekerjaan alternatif” kepada pekerja Utusan Melayu susulan desas-desus operasi syarikat itu akan dihentikan minggu ini.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, di sebalik sejarah kumpulan itu dengan laporan “perkauman, kebencian, politik yang memecahbelahkan dan ketaksuban”, beliau bersimpati dengan nasib pekerja yang perlu menyara keluarga mereka.

“Akhbar ini tidak memberi sebarang sumbangan kepada pembangunan dan perpaduan negara sejak merdeka,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.

“Bagaimanapun, saya simpati dengan pekerjanya yang kini menghadapi masa depan tidak menentu.

“Saya percaya pekerja ini tidak bersalah kerana bos dan pengarang mereka yang membuat keputusan ketika ia di bawah (penguasaan) Umno.”

Rayer merujuk tajuk berita akhbar itu yang didakwanya bersifat menghasut dan sering digunakan untuk menyerang pemimpin Pakatan Harapan seperti Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, serta DAP.

Semalam, hampir 100 pekerja Utusan mengadakan piket di depan ibu pejabat akhbar itu bagi menuntut tunggakan gaji selama 3 bulan.

Susulan itu, media melaporkan akhbar berbahasa Melayu tertua yang ditubuhkan pada 1939 itu akan mencetak edisi terakhirnya esok.

Bernama pula melaporkan Utusan berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia disebabkan masalah kewangannya dan kegagalan mencari pelabur.