Anwar sokong bincang semula isu lesen operasi Lynas

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim menyokong usaha mengadakan perbincangan dengan kerajaan berkenaan lesen operasi kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, Pahang yang diperbaharui untuk selama 6 bulan lagi baru-baru ini.

Presiden PKR itu bagaimanapun mahu ia dibuat secara persahabatan ke arah rundingan yang berkesan.

“Saya percaya kita boleh dan patut benarkan perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pimpinan PKR Wilayah Persekutuan hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan membenarkan Lynas terus beroperasi disebalik bantahan daripada aktivis dan beberapa menteri, mengatakan kerajaan mengikut pandangan pakar dan saintis.

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bersetuju untuk memperbaharui lesen tersebut disertakan dengan beberapa syarat, termasuk membina kemudahan “cracking and leaching” di luar Malaysia.

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang dilapor berkata Malaysia untuk orang Melayu, Anwar menegaskan negara ini milik semua rakyat.

“Negara ini negara Malaysia, warganegara ada hak sama dan kebebasan,” katanya.

Beliau juga menegaskan sejarah Melayu, kedaulatan raja-raja Melayu dan bahasa kebangsaan tidak boleh dipertikaikan.

Asri dikritik kerana mengatakan “Tanah Melayu untuk orang Melayu” seperti “China untuk orang Cina”, “India untuk orang India”, “Eropah untuk orang kulih putih” di satu kuliah Maghrib di Masjid Alwi, Kangar baru-baru ini.

Beliau berkata Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia dan Semenanjung, jadi tidak perlu dihairankan atau dipertikaikan oleh kaum-kaum lain jika orang Melayu mahu mewariskan sejarahnya dan tulisannya.