Bukan air mani… Banyak fungsi selaput putih pada bayi baru lahir

Semua ibu yang melahirkan anak pasti akan berdepan dengan situasi melihat anak yang baru lahir diselaputi lapisan berwarna putih seperti krim selain darah.

Dan inilah persoalan yang selalu bermain di fikiran semua orang: “Kenapa bayi baru lahir ada selaput putih ni? Adakah ia berkaitan dengan apa yang kita makan masa mengandung atau apa sebenarnya lapisan-lapisan putih ni?”.

Inilah lapisan yang digelar vernix caseosa.

Apakah vernix caseosa?

Vernix Caseosa atau lapisan putih di kulit bayi ini sebenarnya sesuatu yang normal dan memiliki fungsinya yang tersendiri.

Ianya terdiri daripada penyatuan minyak yang dikeluarkan kelenjar minyak di kulit janin dengan sisa-sisa sel kulit janin.

Menurut pemerhatian, lapisan vernix caseosa ini berkembang pada kulit bayi sejak dalam kandungan, iaitu ketika usia kehamilan kira-kira 20 minggu.

Menjelang tarikh kelahiran, lazimnya lapisan ini akan semakin berkurangan.

Tapi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika sisanya masih terlihat ketika bayi baru dilahirkan dan ia sebenarnya banyak fungsi melindungi bayi tersebut.

1. Melindungi daripada jangkitan

Oleh kerana sistem pertahanan badan bayi baru lahir amat sensitif dan masih belum matang, mereka sangat mudah terkena penyakit.

Selain melalui penyusuan badan, kehadiran lapisan vernix caseosa ini dapat membantu melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan.

Ini kerana ia mengandungi antioksidan serta ciri khas yang mengelakkan jangkitan dan keradangan.

2. Memudahkan laluan kelahiran

Di samping mengelakkan jangkitan, lapisan vernix caseosa ini juga bertindak sebagai pelincir yang mengurangkan geseran sekaligus memudahkan laluan bayi semasa proses kelahiran.

3. Membantu mengawal suhu badan bayi

Semasa dalam rahim, tubuh ibu memainkan peranan penting dalam menetapkan suhu badan janin.

Namun setelah lahir, bayi perlu mengambil masa untuk menyesuaikan suhu tubuh sendiri tanpa bantuan dari ibu.

Oleh itu, lapisan ini juga bertindak membantu menstabilkan suhu tubuhnya agar lebih selesa dengan keadaan sekeliling.

4. Melembapkan kulit bayi

Seperti yang kita sedia maklum, kulit bayi baru lahir amat sensitif dan halus.

Dengan adanya lapisan istimewa ini, ia dapat berperanan sebagai pelembap yang melindungi kulit bayi dan mengelakkannya daripada menjadi kering.

Ternyata ia bukan kotoran atau air mani

Memang tidak semua bayi baru lahir disaluti dengan kulit sebegini.

Ada yang hanya mempunyai palitan vernix caseosa di wajah, punggung, atau lengan saja.

Jika anda melahirkan bayi yang overdue, kemungkinan besar vernix caseosa tidak begitu ketara kerana kebanyakannya telah diserap oleh cecair amnion (air ketuban).

Apapun jangan salah anggap, sebabnya masih ada yang percaya bahawa lapisan pada kulit bayi ini adalah air mani.

Bahkan, ada yang menghalang hubungan kelamin ketika hamil disebabkan mempercayai hal ini sedangkan ia tiada kaitan sama sekali.

Jadi anda sudah tahu faktanya, janganlah menganggap lapisan vernix caseosa ini sebagai sesuatu yang “kotor”.

Yang jelasnya ia mempunyai fungsi tersendiri dan manfaat yang besar kepada bayi!

Sumber: Parents.com, HealthLine.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]