Kakitangan Utusan terima pendahuluan tunggakan gaji malam ini

KUALA LUMPUR: Kakitangan Kumpulan Utusan Melayu Berhad akan menerima pendahuluan gaji minimum RM2,000 setiap seorang, sehari selepas kakitangannya berpiket kerana masalah gaji.

Pekeliling yang diedarkan kepada kakitangan syarikat itu menyatakan bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun kakitangan selewat-lewatnya malam ini.

“Berdasarkan kemampuan kewangan semasa, syarikat membuat keputusan untuk membayar pendahuluan gaji minimum RM2,000 seorang yang akan dikreditkan ke akaun kakitangan selewat-lewatnya malam ini.

“Bayaran ini akan ditolak daripada jumlah gaji bersih tertunggak. Semoga dengan bayaran pendahuluan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan dihadapi,” katanya dalam memorandum pekeliling yang dilihat FMT.

Pekeliling itu dikeluarkan oleh Pengurus Besar Sumber Manusia, Pentadbiran, dan Perkhidmatan Harta Utusan, Mohd Nazlan Osman.

FMT difahamkan, ia diedarkan sebelum pertemuan antara kakitangan akhbar berkenaan bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir pada 5 petang tadi di ibu pejabat Utusan Malaysia.

Kakitangan Utusan semalam melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.

Syarikat penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! sebelum ini dilaporkan akan menghentikan operasinya minggu ini dengan edaran terakhir diterbitkan pada Rabu.

Utusan mengalami kerugian sejak 2012 dan tersenarai dalam status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Ogos 2018, selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd serta Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.

Kakitangan Utusan semalam melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.

Utusan mengalami kerugian sejak 2012 dan tersenarai dalam status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Ogos 2018, selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd serta Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.

Mengulas mengenai isu tunggakan gaji yang melanda kakitangan akhbar berkenaan, Abd Aziz memaklumkan sehingga kini masih tidak ada tempoh masa yang tetap untuk pihaknya menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya maklumkan kepada kakitangan, kita tidak ada jaminan. Kalau tidak mampu, kita kena tutup kedai dan di mana mereka hendak pergi. Ketika ini tidak ada surat khabar lain yang buka pintu kepada kakitangan.

“Pelan kita tingkatkan harga ini, merupakan sebahagian program untuk kita membayar gaji kakitangan mengikut masa. Kita akan cuba bayar secepat mungkin dan dalam pada masa berjuang untuk Utusan,” katanya.