Lelaki tuduh Nora dirogol Orang Asli didakwa

Poster Nora Anne Quiorin kelihatan ditampal semasa operasi mencari dan menyelamatnya di Seremban, baru-baru ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan penghinaan dengan sengaja melalui catatan Twitter yang mengaitkan kematian remaja Ireland, Nora Anne Quiorin dengan Orang Asli.

Eksekutif Pemasaran Muhammad Zikri Ibrahim didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Dia didakwa membuat kiriman Twitter mengatakan Nora Anne dirogol oleh Orang Asli.

Mengikut pertuduhan tersebut, dia juga mendakwa “polis tidak akan menemui pembunuh kerana kebanyakan Orang Asli tidak mempunyai IC atau apa-apa data warganegara”.

Jika didapati bersalah, dia berdepan hukuman penjara maksimum 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Majistret Noorasyikin Sahat membenarkan Zikri diikat jamin sebanyak RM6,000 selepas dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau juga menetapkan 19 Sept untuk sebutan semula kes.

Nora Anne dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu. Dia ditemui mati di lurah sungai kira-kira 2.5km dari resort di mana keluarganya menginap di Seremban.

Pihak berkuasa menyatakan kematiannya disebabkan pendarahan dalaman, mungkin disebabkan kelaparan dan tekanan berpanjangan.

Polis mengatakan terdapat calar kecil di kaki mangsa tetapi ahli patologi forensik yang melakukan bedah siasat memutuskan ia tidak menyebabkan kematiannya.

Mereka juga mengatakan tidak ada bukti serangan seksual atau elemen penderaan atau penculikan.