Maaf atas salah faham, kata Zakir selepas 10 jam beri keterangan

Zakir Naik di Bukit Aman pada 16 Ogos lalu.

PETALING JAYA: Selepas selesai memberi keterangan kali kedua di Bukit Aman malam tadi, penceramah kontroversi Dr Zakir Naik meminta maaf atas sebarang salah faham berhubung kenyataannya, sambil menambah ia dipetik di luar konteks.

Dalam satu kenyataan, Zakir yang memberi keterangan selama 10 jam di ibu pejabat polis persekutuan, berkata beliau sentiasa menjadi orang yang cintakan keamanan.

“Ia menyedihkan saya bahawa seluruh episod ini menyebabkan ramai orang bukan Islam berfikir saya seorang yang rasis.

“Ia juga membimbangkan saya kerana pihak yang terluka tidak mendengar ucapan saya tetapi berdasarkan tanggapan mereka melalui petikan luar konteks. Itu adalah penyebab kebimbangan kepada saya kerana ia memberi imej bahaya kepada Islam dan menyebabkan orang ramai menjauhinya,” katanya.

Zakir dipercayai menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan masyarakat Hindu di Malaysia, dan turut mempersoalkan kedudukan masyarakat Cina di negara ini dalam beberapa ucapan di Kelantan.

Beliau disoal siasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam, selepas polis menerima 115 laporan terhadapnya.

Katanya, walaupun beliau memberi keterangan kepada polis, beliau merasa bersalah terhadap semua pihak yang terluka kerana “salah faham ini”.

“Saya tidak mahu sesiapa daripada anda melontarkan perasaan tidak baik terhadap saya,” katanya.

“Ia bukan niat saya untuk mengecewakan mana-mana individu atau komuniti. Ia bertentangan dengan prinsip asas Islam, dan saya ingin memohon maaf atas salah faham ini.”

Beliau juga menggesa orang ramai, terutama orang bukan Islam mendengar ucapannya secara keseluruhan.

Zakir menafikan mengamalkan sentimen perkauman, mengatakan beliau adalah mangsa kempen cerca oleh penyokong Perdana Menteri India Narendra Modi.

Pendakwah yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia, dikehendaki di India sejak 2016 berhubung siasatan pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan kebencian.

Bagaimanapun, beliau enggan pulang ke India, mengatakan beliau tidak akan diberikan perbicaraan yang adil di bawah kerajaan BJP.