Mahkamah Tinggi putuskan boleh dengar kes tanah adat Orang Asli Kelantan-Putrajaya

Gurdial Singh Nijar dan G Ragumaren (kanan) selepas penghakiman Mahkamah Tinggi hari ini.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di Kota Bharu menolak permohonan kerajaan Kelantan untuk mengetepikan saman yang difailkan kerajaan persekutuan atas dakwaan ia menceroboh penempatan Orang Asli di Gua Musang.

Peguam, G Ragumaren berkata Hakim, Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut memutuskan Mahkamah Tinggi di sini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian antara Putrajaya dan kerajaan negeri pimpinan PAS itu kerana ia membabitkan 5 syarikat swasta.

“Mahkamah pada dasarnya menerima penghujahan kami pada 21 Julai lalu untuk menolak permohonan mengetepikan saman itu,” katanya kepada FMT.

Beliau yang hadir bersama Gurdial Singh Nijar selepas mendapat kebenaran peguam negara, berkata hakim menetapkan 25 September ini untuk mendengar permohonan injunksi bagi menghalang wakil syarikat terbabit memasuki tanah itu sementara menunggu keputusan perbicaraan.

“Hakim hanya menetapkan pengurusan kes sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.”

Peguam, Khoo Guan Huat yang mewakili kerajaan Kelantan, pengarah tanah dan galian negeri serta pengarah Jabatan Perhutanan negeri, berkata beliau mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk memfailkan rayuan.

“Saya akan bincang pilihan itu dengan penasihat undang-undang negeri. Kami ada 30 hari untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya kepada FMT.

Putrajaya memfailkan saman itu Januari lalu untuk melindungi hak tanah adat Orang Asli. Ia turut memohon injunksi bagi menghalang syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial serta beberapa perisytiharan lain.

Kes itu membabitkan Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd.

Kerajaan Kelantan dan agensinya memberi lesen pembalakan kepada syarikat swasta untuk memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, dekat Gua Musang.

Sejumlah besar kawasan hutan dilaporkan ditebang untuk menanam pokok getah dan durian.

Dalam pernyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, ia merampas sumber dan tanah adat Orang Asli Temiar serta menyebabkan hakisan, pencemaran dan kerosakan besar terhadap ekologi dan lanskap Pos Simpor.

Kerajaan Kelantan kemudiannya memfailkan permohonan untuk mengetapikan saman itu atas alasan Putrajaya tiada locus standi untuk memfailkan saman terhadapnya.

Khoo berkata, Perlembagaan hanya memberi kuasa untuk mendengar pertikaian antara negeri dan Putrajaya di Mahkamah Persekutuan.

Gurdial berkata, mahkamah tertinggi hanya boleh mendengar pertikaian antara kerajaan pusat dan negeri di bawah Perkara 128 (1)(b), jika isu Perlembagaan dirujuk antara 2 negeri atau kerajaan pusat.

“Saman ini turut menamakan defendan lain (5 syarikat), oleh itu Perkara 128 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digunakan.”

Katanya, atas alasan praktikal, tidak boleh ada 2 set perbicaraan mengenai fakta sama.