Malaysia perlu pemimpin seperti Saddam Hussein, kata Asri

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

PETALING JAYA: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata Malaysia perlu seorang pemimpin yang kuat seperti bekas presiden Iraq Saddam Hussein.

Asri berkata beliau tidak menyokong Saddam tetapi sikap pemimpin itu menyebabkan Iraq tidak berpecah.

“Kita ingin beritahu negara tidak boleh dipimpin oleh pihak yang nak menang saja, apatah lagi dia minoriti sehingga dia tak boleh disentuh.

“Saya nak cerita bukan saya sokong Saddam Hussein, kita pun tak suka Saddam Hussein kerana kekejamannya tetapi hanya kerana sikap Saddam Hussein, Iraq tidak berpecah pada zaman itu kerana kadang kala tempat yang banyak gangster kena ada gangster juga jadi kepala,” katanya dalam kuliah khas mufti Perlis di Kolej Universiti Islam Malaysia, Ahad lalu.

Asri berkata negara memerlukan seorang pemimpin yang tegas untuk mentadbir negara.

“Bila negara banyak kepala samseng macam negara kita sekarang ini, nampaknya perlu satu orang yang keras kepala juga yang dominan mesti uruskan negara ini dan kita akan cari calon itu,” katanya.

Saddam merupakan presiden Iraq dari 1979 hingga 2003. Rejimnya jatuh berikutan pencerobohan Amerika Syarikat pada 2003, manakala harta milik bekas pemerintah itu dan kroninya dirampas pemimpin baru Iraq, tentera-tentera dan pelbagai militia.

Asri turut mengkritik kerajaan dan berkata pembentukan pentadbiran mesti didominasi oleh kaum asal negara ini.

Beliau berkata dominasi itu bukan bertujuan membentuk kerajaan yang rasis tetapi bagi kestabilan supaya negara diurus dengan baik.

“Untuk mengelakkan keadaan yang bising. Kalau tidak kita hanya bercakaran, ekonomi negara tak berjalan, bercakaran isu perkauman hari demi hari,” katanya.

Asri juga berkata orang Islam anti-perkauman.

“Saya tak perlu terangkan, Islam tak benarkan orang paksa orang masuk Islam.

“Hari ini kita nak cakap pasal kemerdekaan untuk semua, keadilan untuk semua tetapi semua negara yang merdeka tidak boleh dijalankan pentadbiran dengan cara pengurusan sebegini,” katanya.