Pemuda PPBM akan serah petisyen haramkan Dong Zong pada Agong

Petisyen yang dilancarkan Pemuda PPBM sejak 12 Ogos lalu mendapat lebih 92,000 tandatangan sehingga kini.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM akan meneruskan usaha mendesak Putrajaya mengharamkan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong yang dilabelkan rasis oleh Dr Mahathir Mohamad dengan cadangan menghantar petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Exco Pemuda PPBM, Muzzammil Ismail berkata pihaknya akan menyerahkan petisyen yang ditandatangani rakyat kepada Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebagai bukti bantahan untuk terus memberi tekanan kepada Dong Zong.

“Ia akan dilakukan selepas petisyen mendapat cukup 100,000 tandatangan. Kami juga dalam pertimbangan menghantar petisyen ini kepada Agong,” katanya kepada FMT.

Petisyen yang dilancarkan Pemuda PPBM sejak 12 Ogos lalu menerusi laman web change.org mendapat lebih 92,000 sokongan dan sasaran terbaru ialah 150,000 tandatangan, susulan bantahan Dong Zong terhadap pengenalan seni khat bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai 2020.

Desakan mengharamkan Dong Zong turut disokong Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang mengajak rakyat menandatangani petisyen menyokong pengharamannya.

Pada 15 Ogos lalu, polis memaklumkan Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung dakwaan pengenalan tulisan jawi di semua sekolah ialah satu bentuk Islamisasi.

Pada 14 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, pengenalan tulisan jawi bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020 diteruskan di sekolah kebangsaan, manakala sekolah vernakular perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, Kabinet menetapkan pengenalan seni khat digantikan tulisan Jawi dan ia kekal dimuatkan dalam 3 muka surat buku teks bahasa Melayu serta tidak dinilai dalam peperiksaan.