Penggiat seni gesa kerajaan anjur semula kongres budaya kebangsaan

Penulis dan penerbit buku Hafiz Hamzah (2 dari kiri) semasa forum ‘Adakah Seni Akan Pupus Tanpa Dana Kerajaan’, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Penggiat seni menggesa kerajaan menganjur kongres kebudayaan kebangsaan yang baru bagi menyelaraskan cabaran dan isu semasa yang dianggap berkembang sejak penganjuran pertamanya pada 1971.

Penulis dan penerbit buku Hafiz Hamzah berkata, Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dianjurkan pada 1971 itu tidak boleh diterima kerana cabaran yang dihadapi bidang seni pada masa kini sangat berbeza.

“Kongres tahun 1971, sekarang ni nak masuk tahun 2020, cadangan saya, kena ada satu kongres kebudayaan pada tahun depan.

“Untuk tengok balik segala benda yang boleh dibawa, diolah atau disesuaikan dengan cabaran ataupun masalah yang kita depani hari ini,” katanya dalam sesi soal jawab forum ‘Adakah Seni Akan Pupus Tanpa Dana Kerajaan’, malam tadi.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media sama ada hasil seni yang diterbitkan pada masa ini selari dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang kongresnya pernah dihadiri pengarah filem tersohor P Ramlee dan sejarawan Khoo Kay Kim pada 1971.

Turut hadir dalam forum tersebut, Sasterawan Negara A Samad Said, kartunis terkenal Zunar dan pengarah filem Al Jafree Md Yusop.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, persoalan itu tidak patut wujud kerana dasar itu dengan cabaran semasa sangat berbeza.

“Bahasa contohnya sudah berkembang, sudah lain dengan beberapa tahun dulu.”

Terdahulu, novelis dan penganalisis sastera Faisal Tehrani berkata budaya kebangsaan seperti mana diilhamkan pada 1971 kini tidak lagi berada di atas landasan asal.

Beliau dilaporkan berkata, segala yang dibincangkan pada 1971 itu sama sekali belum dicapai pada 2019, malah jauh tersasar.

Menurutnya, kongres itu bercita-cita untuk menggubal identiti bangsa Malaysia dengan mengambil kira semua kaum dan agama, berdasarkan Rukun Negara yang diperkenalkan selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sementara itu, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata tiada keperluan membincangkan hasil seni dengan dasar tersebut.

Beliau menyifatkan, perbicangan seni dengan dasar penting dalam negara akan menyebabkan seni itu terus berada dalam keadaan “dasar” atau tidak berkembang.

Baginya, pengisian atau konteks seni yang dihasilkan adalah lebih mustahak.