Pertubuhan Cina terus desak kerajaan dalam isu Jawi

PETALING JAYA: Pertubuhan-pertubuhan Cina terus mendesak Putrajaya berhubung pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah aliran, membantah keputusan menyerahkan pelaksanaannya kepada persetujuan PIBG, ibu bapa dan murid.

Sebaliknya, mereka menggesa kerajaan menyerahkan pelaksanaannya kepada keputusan Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) kerana kebanyakan sekolah jenis kebangsaan Cina di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Kami berpendapat ini akan menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan dalam proses pelaksanaan, malah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, LPS juga merangkumi wakil-wakil PIBG dan persatuan alumni.

Kenyataan bersama itu ditandatangani 9 pertubuhan iaitu Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia

Ia juga ditandatangani Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia, Merdeka University Bhd, LLG Cultural Development Centre, Majlis Bahasa Cina Malaysia, dan Persatuan Bekas Siswah Universiti dan Kolej Di China, Malaysia.

Sementara itu, mereka juga menyeru kerajaan mengumumkan isi kandungan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran dan buku teks mata pelajaran bahasa Melayu memandangkan masih ada banyak perkara yang perlu diperjelaskan dengan lebih teliti.

“Supaya orang ramai mengetahui bagaimana pengenalan tulisan Jawi dilaksanakan di SJK(C) dan SJK(T),” katanya.

Pada 14 Ogos lalu, jemaah menteri mengekalkan pengenalan tulisan Jawi bagi Tahun 4 di sekolah aliran, namun pelaksanaannya perlu mendapat persetujuan PIBG, ibu bapa dan murid, susulan bantahan daripada kumpulan pendidikan Cina dan badan agama bukan Islam.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menafikan pengenalan tulisan Jawi ialah satu bentuk Islamisasi, susulan dakwaan daripada penentang rancangan itu.