PKR akan putuskan isu Zakir Naik esok, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Biro politik PKR akan putuskan pendirian parti itu esok berhubung kenyataan penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik terhadap penganut Hindu dan kaum Cina tempatan, kata presidennya, Anwar Ibrahim.

Anwar berkata dia masih tidak bersetuju dengan tindakan penceramah itu mencerca rakyat Malaysia walaupun dia sudah memohon maaf dan cuba menjelaskan perkara itu.

“Dalam dakwah mestilah berhikmah. Saya tak nafikan saya kenal Naik secara peribadi, ada baik, bukan seperti yang ditohmah, tetapi tidak wajar,” katanya di satu program di ibu negara malam tadi.

Semalam Naik meluangkan masa selama 10 jam memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman sehingga lewat malam.

Sementara itu, Anwar berkata Naik perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana membenarkan dia berada di negara ini.

“Kita dah tolong dia, dia bagi masalah pada kita,” katanya.

Anwar menegaskan isu Naik mesti ditangani mengikut undang-undang walaupun ramai menggesa tindakan diambil.