Ribuan mahu bertanjak pada 16 Sept, tolak rasisme dalam masyarakat Melayu

Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi.

PETALING JAYA: Sekumpulan aktivis sedang merekrut ribuan orang di dalam talian untuk bersama menggayakan tanjak, sebagai tanda kesatuan untuk menolak perkauman yang dipromosikan sesetengah ahli politik yang manipulatif.

Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi, penggerak kempen menjenamakan semula konsep bangsa Melayu ini, mendakwa kira-kira 30,000 orang sudah mendaftar untuk acara yang dijadualkan pada 16 September ini, iaitu pada Hari Malaysia.

Pada hari itu peserta digalakkan memakai tanjak sama ada bersendirian atau bersama keluarga, katanya.

Faiz berkata kempen dalam talian itu kini sudah tersebar dengan sendirinya, siap dengan tanda pagar tersendiri #berdirisendiri.

“Kita tak rasis. Tidak ada sesiapa pun dalam masyarakat ini rasis. Semua bangsa tak ada siapa pun rasis. Yang mencetuskan rasis itulah yang rasis. Kamu semua cuma dipermainkan,” kata ahli perniagaan itu.

Faiz percaya tanjak akan menghidupkan kembali “jati diri orang Melayu yang sebenar”.

“Kamu semua rasa hebatnya orang Melayu dulu kerana ‘jati diri Melayu’. Bukan. Orang Melayu dulu belajar kenal diri sebenar diri.

“Bukan (belajar) kenal Melayu, bukan dia perjuangkan nama Melayu, dia tak perjuangkan benda berbentuk ‘bangsa’ sebab dia terima semua,” katanya, seorang bekas murid sekolah rendah Cina.

Faiz menyalahkan naratif perkauman yang semakin meningkat dalam orang Melayu pada ahli-ahli politik yang manipulatif.

“Jadi bila kamu semua tak sedar perkara ini, sebab itulah berlaku 13 Mei. Sebab kamu semua dirasuk emosi. Cukuplah, kita berdiri sendiri dan perbaiki kehidupan masing-masing,” katanya dalam pesanan di Facebook.

Faiz percaya kempen ini akan mendorong orang Melayu “jadi diri sendiri” dan daripada situ bersama tumpu pada pembinaan diri dan pemprograman semula pemikiran.

“Kalau kita hari-hari asyik cakap tentang kebencian, asyik isi dengan isu perkauman, benda-benda yang tegang, bila kita nak berjaya?” soalnya.

Faiz berkata acara ini bukan suatu perhimpunan, tiada perhimpunan dirancang, peserta tidak perlu berjalan beramai-ramai, dan tidak perlu berbusana lengkap.

“Kamu semua bergerak secara beramai begitu untuk buat apa sebenarnya? Kamu semua nak tunjuk pada siapa? Kita cuma nak tunjuk pada diri,” katanya.