Saham Utusan jatuh selepas kerugian suku ke-7 berturut-turut

PETALING JAYA: Saham Utusan Melayu (M) Bhd terus merosot sejak dagangan dibuka hari ini.

Bernama melaporkan saham Utusan jatuh 31.81% kepada 7.5 sen dengan 843,900 saham bertukar tangan setakat 10.40 pagi tadi.

Menurut laporan The Edge Markets, Utusan mengalami kerugian bersih bagi suku ke-7 berturut-turut sebanyak RM3.89 juta untuk tempoh 3 bulan yang berakhir 30 Jun lalu.

Pendapatan suku tahunannya merosot kepada RM25.91 juta berbanding RM63.87 juta bagi suku sama tahun lalu.

Utusan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994 mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM261.61 juta setakat 30 Jun lalu.

Utusan mengalami kerugian sejak 2012 dan tersenarai dalam status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Ogos 2018, selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd serta Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.

Semalam, Bernama melaporkan Utusan berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia disebabkan masalah kewangannya dan kegagalan mencari pelabur untuk menyelamatkannya.

Berita itu tersebar selepas desas-desus syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua yang ditubuhkan pada 1939 sebagai Utusan Melayu dengan penerbitan pertamanya dalam tulisan jawi itu akan menghentikan operasinya hari ini, selepas beroperasi selama 80 tahun.

Semalam, hampir 100 pekerja Utusan mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat akhbar itu bagi menuntut tunggakan gaji selama 3 bulan.