Speaker DUN Selangor sedia berdepan usul pemecatan dari Umno

Ng Suee Lim berkata beliau tidak mahu melayan provokasi dari Umno. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ng Suee Lim berkata beliau sedia berdepan usul dari Umno supaya dipecat sebagai speaker DUN Selangor.

Ng berkata, mana-mana wakil rakyat berhak membawa usul di DUN Selangor jika terdapat perkara yang tidak puas hati selaras dengan Peraturan Tetap 1965.

“Soal nak bawa usul itu terpulang, sebab kita mengamalkan demokrasi, Umno nak bawa usul terpulang itu hak mereka.

“Saya hormati mana-mana ahli dewan yang nak bawa usul mengikut Peraturan Tetap 1965 yang sedia ada,” katanya kepada FMT.

Ng mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan membawa usul supaya Ng dipecat kerana didakwa menangguhkan sidang mesyuarat sebelum Menteri Besar Amirudin Shari membentangkan rang undang-undang (RUU) meminda enakmen bagi membolehkan penukaran agama anak secara sebelah pihak.

Zahid berkata, Ng tidak menghormati hal ehwal Islam yang terletak dalam kuasa Sultan Selangor selaku ketua agama negeri.

“Persidangan yang panjang ditamatkan dalam tempoh 2 hari. Kerana apa? Sebab ada RUU yang sepatutnya dibaca menteri besar. Bukan ke kurang ajar?” katanya.

Zahid memberikan tugas mengerakkan usul pemecatan Ng kepada Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail.

Mengulas dakwaan Zahid, Ng berkata beliau tidak mahu melayan provokasi dari Umno.

“Ini cakap politik, unsur provokasi dan sebagainya, saya tak nak layan, saya sebagai speaker saya menjalankan tugas, mengikut amanah yang diberikan iaitu menjaga sidang dewan dengan tertib, mengikut Peraturan Tetap 1965, soalan lain nak kata apa itu hak mereka, saya tak layan,” katanya.

Cadangan pindaan itu dikatakan menemui jalan buntu apabila Ng menangguhkan sidang DUN pada 31 Julai lalu, selepas 2 hari bersidang.

Sebelum ini, Ng menafikan sidang DUN ditangguhkan awal kerana tidak berpuas hati dengan RUU itu. Beliau berkata RUU tersebut tidak pernah dimasukkan dalam aturan mesyuarat.