Tidur awal: Satu fasa susah tapi amat perlu

Tidur awal adalah satu perkara normal bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, tetapi keadaan ini bagi individu dewasa boleh dianggap sebagai satu perkara yang sangat jarang untuk berlaku.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan fasa ini?

Fasa tidur awal ini melibatkan situasi di mana seseorang individu dewasa untuk tidur dalam lingkungan waktu jam 8 malam dan membolehkan mereka untuk bangun seawal pukul 4 pagi keesokannya harinya.

Seorang daripada 300 individu dewasa

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh UC San Francisco dan diterbitkan di dalam jurnal SLEEP pada 6 Ogos 2019, menyatakan tabiat ini berlaku ke atas sekurang-kurangnya seorang individu daripada 300 individu dewasa.

Pada masa ini bermakna jam badan seseorang individu atau irama sirkadian (circadian rhythm) beroperasi pada waktu jadual lebih awal daripada kebanyakan individu lain, dengan pelepasan pramatang bagi melatonin hormon tidur dan pertukaran suhu badan.

Keadaan ini dikatakan berbeza dengan situasi bangun awal yang meningkat seiring dengan peningkatan usia normal serta masalah sukar melelapkan mata yang dihadapi oleh individu yang berdepan dengan masalah kesihatan seperti kemurungan.

Menurut pengarang jurnal dan profesor neurologi di UCSF School of Medicine, Dr Louis Ptacek, “Ia adalah satu kebiasaan bagi kebanyakan individu dewasa mahupun remaja untuk sukar bangun seawal pukul 4 atau 5 pagi. Tetapi berbeza dengan individu dengan fasa ini, mereka akan dapat bangun secara semula jadi pada waktu seperti ini, iaitu 4 atau 5 pagi, tidak tergesa-gesa dan bersedia untuk memulakan hari mereka.”

Jelas beliau lagi, individu yang hidup dengan fasa ini tidak mempunyai masalah untuk berfungsi dan melakukan tugasan serta tanggungjawab harian pada waktu siang tetapi mereka berkemungkinan akan cenderung untuk menghadapi masalah untuk kekal berjaga pada waktu malam untuk memenuhi tanggungjawab dan komitmen sosial.

Penyelidikan selama 9 tahun

Individu yang mempunyai fasa ini mungkin akan memanjangkan tempoh lena selama 5 hingga 10 minit pada hujung minggu, iaitu ketika hari tidak bekerja masih tetap bangun dengan lebih mudah berbanding individu atau ahli keluarga lain yang tidak mempunyai fasa ini dan melanjutkan tempoh antara 30 hingga 38 minit.

Penyelidikan selama 9 tahun di University of Utah dan University of Wisconsin telah membantu Ptacek dan rakan-rakannya untuk membuat anggaran individu bersama fasa ini dengan menilai data pesakit daripada klinik gangguan tidur.

Secara keseluruhan, sejumlah 2422 jumlah pesakit dinilai, dengan 1748 memberikan simptom gangguan tidur iaitu apnea tidur obstruktif, di mana pengkaji beranggapan keadaan ini tidak mempunyai kaitan dengan waktu kitaran melelapkan mata.

Daripada jumlah pesakit yang dikaji, terdapat 12 individu yang memenuhi kriteria bagi fasa ini.

Namun, 4 daripada 12 individu ini menolak untuk mengikuti kajian yang dilakukan.

8 pesakit yang tinggal, atau terdiri daripada 0.3% jumlah pesakit yang diuji, menjadikan ia dikira sebagai purata 1 daripada 300 individu – yang diesktrapolasi untuk jumlah penduduk umum.

Untuk pengetahuan umum, perkataan “ekstrapolasi” atau extrapolated, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bermakna satu proses menggunakan kaedah logik atau fakta bagi menganggarkan kemungkinan berlakunya sesuatu pada masa depan.

Menurut penyelidik, ini adalah dikira sebagai angka konservatif, memandangkan ia tidak termasuk 4 pesakit yang tidak mahu mengambil bahagian dan mungkin memenuhi kriteria fasa ini, termasuk individu dengan fasa ini yang tidak mempunyai keperluan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik gangguan tidur.

Kriteria fasa tidur awal

Antara kriteria bagi individu dengan fasa ini adalah melibatkan keupayaan untuk dapat lena seawal atau sebelum 8.30 malam dan bangun sebelum 5.30 pagi, tanpa mengira jenis pekerjaan atau keperluan sosial dan hanya memerlukan satu waktu untuk melelapkan mata setiap hari.

Kriteria lain adalah termasuk mewujudkan corak bangun-tidur pada usia 30 tahun, tidak menggunakan sebarang ubat perangsang atau sedatif, tidak memerlukan pencahayaan yang terang untuk membantu bangun pada awal pagi serta tidak melibatkan apa-apa keadaan perubatan yang memberi kesan kepada tidur.

Kesemua 8 peserta ini diuji secara peribadi oleh bekas pakar neurologi di University of Utah dan penulis bersama, Dr Christopher R. Jones. Individu yang terlibat dalam penyelidikan ini juga ditanya mengenai sejarah perubatan serta tabiat tidur lampau dan kini sama ada ketika waktu kerja atau bercuti.

Penyelidik juga melihat log tidur dan tahap melatonin dalam air liur peserta, termasuk kajian polysomnography, rekod gelombang otak, kadar oksigen dalam darah, denyutan jantung dan pernafasan.

Melibatkan generasi?

Daripada catatan, kesemua 8 individu dengan fasa ini mendakwa bahawa mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga darjah pertama (first-degree relative) yang mempunyai corak tidur-bangun yang sama, ia dirujuk sebagai “familial advanced sleep phase”.

Daripada 8 ahli keluarga yang diuji, 3 daripadanya tidak memenuhi seluruh kriteria fasa tidur awal ini dan penulis menganggarkan baki 5 yang diuji adalah mewakili 0.21% daripada populasi umum.

Penulis berharap dengan hasil kajian ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai fasa tidur awal dan fasa familial advanced sleep ini tetapi dalam masa yang sama dapat mengenal pasti gen jam sirkadian (circadian) dan sebarang masalah perubatan yang mungkin mendasari keadaan ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]