Tolak Najib, BN juga tolak campurtangan Istana, kata Kadir

PETALING JAYA: Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata tindakan rakyat menolak bekas perdana menteri Najib Razak dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas juga suatu penolakan terhadap campurtangan istana.

Menulis di blognya selepas bertemu pimpinan PPBM Johor, Kadir yang juga penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri berkata pimpinan parti dan ahli mesti setia pada parti.

Kadir berkata di Johor bukan lagi rahsia lagi PPBM, macam Umno dulu, mengalami masalah kesetiaan yang berbelah bagi akibat peranan istana.

“Di semua negeri yang ada raja, memang semua pemimpin politik dan rakyat jelata wajib setia kepada raja sebagai ketua negeri.

“Tetapi tugas mentadbir negeri adalah hak dan tanggungjawab pemimpin yang dipilih oleh rakyat jelata melalui pilihan raya,” katanya.

Kadir menambah raja adalah ketua negeri dan bukan ketua pentadbir.

Beliau menggesa ahli PPBM menolak pemimpin yang tidak setia kepada parti dan tidak ikut arahannya.

Kadir menambah di ketua PPBM di Johor adalah Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai exco.

Mazlan digugurkan dalam rombakan pentadbiran negeri apabila Sahruddin Jamal dilantik sebagai menteri besar.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua PPBM Johor, walaupun kebiasaannya jawatan itu digalas oleh menteri besar.

Kadir meninta ahli PPBM jangan lupa salah seorang individu daripada Istana Johor secara terbuka menghina PPBM dan Pakatan Harapan pada PRU lalu.

“Malah secara terang-terangan mereka berkempen bagi pihak Najib dan BN,” katanya.

Kadir juga bercakap mengenai kekebalan raja, mengatakan kebebalan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan dan negeri itu terhad kepada menjalankan tugas rasmi.

“Anak raja tidak kebal. Tetapi anak raja mungkin jadi kebal kalau dilantik menjadi pemangku raja tetapi tetap terhad kepada tugas rasmi saja.

“Mereka tidak kebal kalau melakukan jenayah seperti memukul orang atau menipu rakan kongsi perniagaan,” katanya.

Kadir berkata apabila Abdul Hamid Bador dilantik sebagai ketua polis negara, dia mohon Hamid membuka semula kes-kes jenayah yang melibatkan keluarga diraja.

“Tapi saya tidak tahu beliau buat atau tidak. Sekarang saya mohon pula kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya siasat kegiatan melombong dan mengeksport pasir,” katanya.