Umno suntik RM1.6 juta kepada Utusan untuk pendahuluan gaji, kata kesatuan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mendedahkan pendahuluan gaji minimum RM2,000 yang diterima setiap seorang kakitangan Utusan Melayu Berhad malam ini hasil suntikan Umno.

Pengerusi Mohd Taufek Razak berkata Umno bersetuju untuk menyalurkan RM1.6 juta dalam pertemuan antara ahli lembaga pengarah syarikat dan presiden parti Melayu itu, Ahmad Zahid Hamidi semalam.

“Ia adalah hasil desakan dari piket yang kita adakan semalam. Ahmad Zahid adakan mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah Utusan. Kami lega dengan keputusan itu dan akan tetap bersama dengan syarikat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Utusan malam tadi.

Pekililing syarikat itu memaklumkan bayaran akan dikreditkan ke akaun kakitangan selewat-lewatnya malam ini.

Kakitangan Utusan semalam melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, tidak ada sebarang campur tangan Umno sejak beliau mengambil alih akhbar berkenaan.

Menurutnya, editorial Utusan Malaysia bebas menentukan hala tuju akhbar berkenaan dan bukannya berpihak kepada Umno semata-mata, sekaligus menafikan akhbar berkenaan masih mempunyai kaitan dengan parti itu.

“Saya belum pernah lagi terima panggilan daripada Zahid meminta sesetengah laporan berita itu wajib disiarkan. Belum ada lagi. Kita bebas, kita bendak bawa mesej perpaduan dan kita bukannya rasis,” katanya.

Abd Aziz bagaimanapun enggan mengulas dakwaan NUJ bahawa akhbar berkenaan masih menerima sokongan dan bantuan Umno.

Umno dalam satu kenyataan hari ini berkata ia amat bersimpati dengan nasib bekas kakitangan Utusan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan kakitangan yang tidak menerima gaji.

Setiausaha Agung Annuar Musa berkata Umno tidak berkemampuan untuk membantu kewangan Utusan “yang berada dalam keadaan kritikal” kerana akaun parti dibekukan.

“Bagaimanapun, Umno sudah membantu atas dasar simpati dan kemanusiaan kepada kakitangan terlibat,” katanya.

Annuar mengesahkan Umno sudah menjual sahamnya di Utusan kepada syarikat swasta sejak Februari 2019.

“Masalah Utusan adalah masalah pengurusan serta perniagaan dan tidak harus dipolitikkan sama sekali,” katanya.