Utusan terus operasi, akhbar naik 50 sen mulai Jumaat

Harga akhbar Utusan Malaysia akan dinaikkan kepada RM2 dan Kosmo! RM1.50 mulai Jumaat ini.

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu Bhd tidak akan ditutup, tetapi harga 2 akhbar terbitannya akan dinaikkan sebanyak 50 sen mulai Jumaat ini, kata Pengerusi Eksekutifnya, Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Beliau meminta bantuan rakyat menyelamatkan syarikat itu dengan melanggan Utusan Malaysia dan Kosmo! atau membuat pengiklanan di 2 akhbar berkenaan.

“Bermula Jumaat ini, harga jualan akhbar Utusan Malaysia akan dinaikkan daripada RM1.50 kepada RM2, manakala akhbar Kosmo! daripada RM1 kepada RM1.50,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat syarikat itu hari ini.

“Kalau betul orang Melayu hendak bantu, hendak teruskan akhbar selama 80 tahun ini, pastikan beli akhbar ini, teruskan mengiklan di Utusan Malaysia dan melanggan akhbar Utusan di atas talian.”

Semalam, akhbar berbahasa Melayu tertua yang ditubuhkan pada 1939 itu dikatakan akan mencetak edisi terakhirnya esok, selepas hampir 100 pekerjanya berpiket di ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji 3 bulan.

Hari ini, pekeliling yang dikeluarkan Pengurus Besar Sumber Manusia, Pentadbiran dan Perkhidmatan Harta Utusan, Mohd Nazlan Osman memaklumkan pekerjanya akan menerima pendahuluan gaji minimum RM2,000 setiap seorang yang akan dikreditkan ke akaun mereka selewat-lewatnya malam ini.

“Bayaran ini akan ditolak daripada jumlah gaji bersih tertunggak. Semoga dengan bayaran pendahuluan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan dihadapi,” kata Utusan dalam memorandum pekeliling yang dilihat FMT.

Semalam, Bernama melaporkan Utusan berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia disebabkan masalah kewangannya dan kegagalan mencari pelabur.

Aziz berkata, tiada jaminan untuk pihaknya membayar semua tunggakan gaji pekerja.

“Kalau tidak mampu, kita kena tutup kedai dan di mana mereka hendak pergi? Ketika ini, tidak ada surat khabar lain yang buka pintu kepada kakitangan.

“Pelan kita naikkan harga ini merupakan sebahagian program untuk kita membayar gaji kakitangan mengikut masa. Kita akan cuba bayar secepat mungkin dan pada masa sama berjuang untuk Utusan.”