Waytha saman Lokman dakwa palsukan laporan bedah siasat Adib

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyaman Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam atas dakwaan beliau memainkan peranan dalam “pemalsuan” laporan bedah siasat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Waytha berkata, Lokman membuat kenyataan fitnah itu dalam satu perhimpunan pada 4 Januari lalu dengan mendakwa beliau antara anggota Kabinet tertentu yang meminta laporan itu diubah.

“Kenyataan Lokman terhadap saya adalah salah dan dibuat dengan niat jelas untuk memalukan dan mencetuskan kebencian awam terhadap saya,” katanya dalam saman yang dilihat media hari ini.

Waytha berkata, kenyataan itu adalah cubaan untuk membayangkan beliau sebagai menteri tidak jujur dan individu yang cuba memanipulasi hasil siasatan ke atas kematian Adib.

Katanya, kenyataan Lokman turut dimuat naik ke Facebooknya dan portal berita lain serta media sosial.

“Peguam saya mengeluarkan surat tuntutan kepada Lokman pada 11 Mac untuk beliau memohon maaf dalam tempoh seminggu.

“Tetapi, beliau enggan berbuat demikian.”

Waytha menuntut ganti rugi tanpa jumlah tertentu dan injunksi bagi menghalang Lokman atau ejennya menyiarkan kenyataan itu.

Sementara itu, Lokman mempertahankan diri dengan berkata, kenyataan adalah wajar dan komen adil.

Katanya, sebagai pembangkang, beliau ada tanggungjawab untuk memantau kerajaan dan bersuara.

“Saya ada akses kepada satu memo yang saya percaya dikeluarkan pihak tertentu yang mengatakan ada arahan untuk ubah laporan bedah siasat Adib.”

Katanya, beliau sudah membuat satu laporan polis untuk pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Latifah Mohd Tahar menetapkan 1 November ini untuk sebutan semula kes.

Waytha turut memfailkans atu lagi saman terhadap ketua kumpulan hak Melayu, Azwanddin Hamzah atas dakwaan beliau menggunakan perkataan menghina dan menamakannya dalam satu perhimpunan untuk Adib pada Disember tahun lalu.

Perbicaraan bagi saman presiden Jaringan Melayu Malaysia itu akan bermula 23 Oktober ini.