Lagi penguatkuasa JPJ mengaku tak bersalah lindungi pemandu lori

Hakim Nizam Zakaria membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

BUTTERWORTH: Seorang lagi penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 8 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,300 bagi melindungi pemandu lori sebuah syarikat pengangkutan yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Hanisham Din, 48, turut menafikan 8 pertuduhan pilihan, iaitu menerima suapan daripada syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori syarikat terbabit.

Mengikut pertuduhan utama, penolong penguatkuasa JPJ gred KP26 itu didakwa menerima suapan wang tunai daripada Syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori miliknya yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bapa kepada 3 anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Perai antara 12 Januari 2016 hingga 8 September 2016.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan, serta jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa memperoleh wang tunai daripada syarikat terbabit bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori milik syarikat itu di tempat dan tarikh sama.

Untuk pertuduhan itu, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini menawarkan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menanggung ibunya dan memerlukan wang untuk rawatan sakit jantung yang dihidapinya sejak 2001.

Hakim Nizam Zakaria kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, 27 penguatkuasa JPJ Pulau Pinang, termasuk 2 bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.

Lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan Januari lalu selepas disyaki menerima rasuah untuk melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.