Bernama nafi buat hantaran GIF anjing di komen FB Zakir mohon maaf

Hantaran GIF anjing dibuat pada video di laman Facebook Bernama.

PETALING JAYA: Agensi berita Bernama hari ini menafikan penglibatan pihaknya dengan satu hantaran di Facebook berhubung video permohonan maaf Dr Zakir Naik yang menampilkan gambar animasi anjing.

Dalam satu kenyataan, Bernama berkata siasatan dalaman mendapati petugas Bernama tidak terlibat dengan kiriman GIF anjing yang menaikkan kemarahan ramai pihak.

“Kami percaya akaun kami telah digodam,” katanya, sambil menambah terdapat percubaan menggodam akaun sosial media dan portal web pada minggu lepas.

“Malah ada yang menyalahgunakan nama dan logo BNC atau Bernama untuk menyebarkan berita palsu.

Tangkap layar Facebook Bernama sebelum GIF anjing dipadamkan.

“Pihak kami ingin memohon maaf atas perbuatan yang menyinggung perasaan netizen.”

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap komen pautan video Naik meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kenyataan yang dianggap menghina masyarakat minoriti negara ini.

GIF yang telah dipadamkan itu memaparkan Dachshund berwarna coklat menjilat mulutnya menjangkakan diberi makanan dengan kapsyen “pls”.