Himpunan Melayu Bangkit 2.0 bukan perang kepada bangsa lain, kata Umno

Tajuddin Abdul Rahman (tengah) ketika sidang media di kediamannya di Bukit Damansara yang turut dihadir beberapa ketua bahagian Umno.

KUALA LUMPUR: Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 yang dijangkan diadakan pada 30 Ogos ini di Sungai Manik, Perak bukannya cubaan mengisytihar perang kepada bangsa lain.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata, himpunan tersebut diadakan sebagai solidariti orang Melayu dan Islam yang semakin ditekan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tidak ada, mana ada perang, perang kena bawa senjata, meriam, peluru berpandu, orang Umno tidak ada satu pistol pun, tidak ada senjata.

“Pada masa ini kita menghadapi cabaran yang begitu hebat terhadap bangsa Melayu, Bumiputera dan umat Islam.

“Banyak insiden, kejadian yang berlaku di negara kita dalam tempoh tahun ini, kita dapati keadilan tidak dapat ditegakkan untuk bangsa kita Melayu umat Islam, kerajaan nampaknya tidak berupaya melindungi orang Melayu dan umat Islam dalam kes Adib, kes Syed Danial dan beberapa kes lagi sebagai contoh.

“Nampaknya PH tidak berupaya untuk melindungi bangsa Melayu Bumiputera dan tidak beri keadilan kepada bangsa kita, jadi nak tunggu apa lagi ini masa kita bangkit,” katanya ketika sidang media di Bukit Damansara.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesesuaian himpunan itu diadakan disaat hubungan kaum tegang ketika ini.

Tajuddin berkata, himpunan tersebut bertujuan memberi peringatan supaya tidak ada pihak cuba menganggu gugat kedudukan Orang Melayu dan Islam selaras dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan.

“Kita menghadapi banyak cabaran lagi, malah nampaknya cabaranya semakin hebat daripada pihak yang bertujuan menjatuhkan orang Melayu. Mereka hina, memomokkan dan ada yang cuba menghakis kepentingan Orang Melayu dan Islam.

“Kita bangsa Melayu dan Islam kena terus dengan samangat perjuangan ini, kita tak boleh luntur dan kita harap kita dapat kekalkan kesatuan ini supaya dapat kekalkan maruah bangsa kita.

“Kita bukan bertujuan nak ambil hak orang lain untuk mencabar bukan Melayu, India atau sebagainya, kita bercakap soal mempertahankan hak Melayu dan umat Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan, itu hak kita jangan diusik, diungkit,” katanya.

Beliau berkata himpunan tersebut bukan rasis kerana rakan komponen Barisan Nasional iaitu MIC dan MCA juga dijemput.

Tajuddin berkata bukan Melayu termasuk rakan komponan BN sudah mula faham himpunan perpaduan ummah yang diadakan merupakan himpunan untuk semua kaum bukan menjurus kepada satu kaum sahaja.

Himpunan yang akan dihadiri pemimpin tertinggi Umno dan PAS itu diadakan rentetan perhimpunan sama yang pernah diadakan pada November tahun lalu di Kampung Gajah, Pasir Salak yang turut dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Ia juga dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi Ahli Parlimen Pekan Najib Razak serta pimpinan kanan Umno. Sementara PAS akan diwakili Setiausah Agungnya Takiyudddin Hassan dan beberapa pimpinan lain.

Hadi tidak menyertai himpunan kali ini kerana mempunyai urusan rasmi di luar negara pada tarikh tersebut.

Pihaknya juga mensasarkan lebih 50,000 peserta dan berharap permit diberikan pihak berkuasa memandangkan ia diadakan secara aman.

Tajuddin berkata, himpunan tersebut juga sebagai pasca kemuncak himpunan ummah yang akan diadakan pada 14 September sempena piagam perjanjian Umno dan PAS.