Kabinet setuju cadangan bawa masuk Gojek, kata Redzuan
Menteri Redzuan Yusof berkata Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan perlu mengkaji ruang dan undang-undang sedia ada.
PUTRAJAYA: Kabinet setuju dengan cadangan memperkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal, Gojek di negara ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof.
Beliau berkata selepas ini Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan perlu mengkaji ruang dan undang-undang sedia ada.
“Kaji dan bawa secepat mungkin untuk persetujuan Kabinet,” katanya pada sidang media di kementerian hari ini.
Beliau menjangkakan cadangan undang-undang itu boleh dikemukakan sebelum hujung tahun ini.
“Tak begitu sukar kerana undang-undang ada, cuma dari sudut manakah kita boleh benarkannya,” katanya.
Terdahulu, kerajaan tidak mahu meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal atas sebab-sebab keselamatan penunggang dan pembonceng, sehinggalah Menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan cadangannya kepada Kabinet hari ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Keputusan kerajaan sebelum ini menyebabkan syarikat tempatan, Dego Ride terpaksa menamatkan khidmat penghantaran penumpang selepas mendapat amaran daripada kementerian.