Kopi bukan sekadar untuk minum, boleh dijadikan lukisan!

Lazimnya, kopi dijadikan minuman bagi menghilangkan rasa mengantuk.

Ia sering menjadi pilihan pada musim peperiksaan dan mereka yang bekerja lewat malam.

Ada juga yang menikmati secawan kopi terlebih dahulu sebelum memulakan tugasan harian.

Ternyata, kopi membawa pengaruh besar dalam kehidupan masyarakat kini, namun ada juga yang menikmati kopi dengan cara tersendiri, iaitu menjadikan kopi sebagai bahan mewarna.

Bagi Rekha Verma, 49, kopi membawa satu wacana tersendiri dalam kehidupannya kerana membuat lukisan dengan menggunakan bancuhan kopi.

Ini bukan perkara baru, namun bukan semua boleh melakukannya kerana kopi hanya mempunyai satu warna sahaja iaitu coklat gelap.

Jadi untuk menghidupkan sesuatu karya, pelukis mesti tahu mengawal calitan kopi di atas kertas mahupun banyak mana air yang diperlukan untuk mendapatkan warna yang diinginkan.

Bagi Rekha, wanita berkelahiran New Delhi, India, menganggap kopi antara bahan yang digemarinya untuk menghasilkan lukisan ketika masa lapang bersama keluarga.

Beliau yang memiliki hobi melukis sejak remaja berkata, beliau tidak pernah menjalani sebarang latihan formal mengenai lukisan sebaliknya belajar sendiri berdasarkan minat.

“Saya melukis sejak remaja dan melakukan bannyak percubaan mengenai warna kerana bidang ini sangat luas skopnya.

“Penggunaan kopi sebagai bahan warna misalnya, anda perlu mahir mengendalikan calitan warna di atas kertas untuk membezakan ton warna gelap dan cerah memandang kopi hanya mempunyai satu saran,” katanya ketika ditemui di Bengkel Mewarna Mengunakan Kopi di Muzium Kesenian Islam Malaysia (IIAM), baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengurus Pameran dan Ketua Koleksi, Jabatan Kurator (IIAM) bertindak sebagai pengajar di bengkel berkenaan yang diadakan sempena Pameran Cerita Kopi di muzium itu.

Berkahwin dengan rakyat Malaysia dan terus menetap di sini, Rekha sebelum ini pernah mengendalikan bengkel botani dan seramik juga anjuran IIAM.

Ketika ditanya apakah beliau mempunyai cadangan untuk mengdakan pameran sendiri memandang beliau amat menggemari seni lukis, katanya beliau melukis untuk mengisi lapang.

Rekha hanya berlatih melukis menggunakan kopi bila ada kelapangan.

“Saya melukis sebagai hobi dan tidak pernah terfikir untuk mengadakan pameran solo memandangkan setakat ini saya suka dengan kerja saya. Jadi sambil bekerja, saya selitkan disiplin melukis sebagai hobi dan memenuhi masa sekiranya berpeluang.

“Menarik mengenai seni lukisan menggunakan kopi ini, saya berlatih beberapa kali untuk memahirkan diri mengawal calitan kopi agar nampak perbezaan antara terang dan gelap.

“Apabila kita boleh mengawal tahap kepekatan wana kopi, barulah nampak perbezaan di atas permukaan kertas yang digunakan kerana itulah yang menampakkan kepelbagaian warna kopi,” katanya.

Rekha hanya menggunakan kopi larut sepenuhnya dan tidak perlu ditapis kerana selain daripada bancuhannya sekata, ia juga menerbitkan bau yang harum ketika melukis.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]