Lelaki langgar pemandu sehingga maut di Lebuhraya PLUS didakwa esok

Tangkap layar rakaman video menunjukkan Syed Muhammad Danial Syed Shakir tersepit antara kereta mangsa dan penghadang jalan selepas dilanggar di Lebuhraya PLUS dekat persimpangan Bandar Baru Bangi pada 10 Ogos lalu. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan seorang pemandu, Syed Muhammad Danial Syed Shakir yang maut selepas terbabit dalam satu pergelutan susulan kemalangan kecil di Lebuhraya Utara Selatan lebih seminggu lalu akan didakwa di Mahkamah Kajang, esok.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Ab Rashid Ab Wahab berkata suspek berusia awal 40-an itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 10 Ogos itu, Syed Muhammad Danial, 29, dilaporkan maut akibat dilanggar kenderaan yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan keretanya, berhampiran Plaza Tol Sungai Besi dengan kedua-dua kenderaan berhenti dekat persimpangan Bandar Baru Bangi, selepas kejadian kejar-mengejar.

Sebelum kejadian itu, kedua-dua pemandu berkenaan dikatakan terlibat dalam pergaduhan dan dileraikan pengguna lebuh raya lain, sebelum mangsa yang keluar semula daripada keretanya dilanggar dan tersepit antara kenderaan dan penghadang jalan.

Susulan itu, polis mereman sepasang suami isteri selama 7 hari sehingga Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Reman suspek lelaki itu kemudiannya disambung sehingga hari ini, sementara suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis.

Isnin lalu, kertas siasatan kes itu diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.