Luka lambat sembuh kerana diabetes?

Pernahkah anda mengalami luka dan ia mengambil masa untuk sembuh?

Apakah yang menyebabkan situasi ini berlaku? Bolehkah keadaan kesihatan seperti masalah diabetes menjadi punca kepada luka yang mengambil masa lebih lama untuk sembuh dan baik?

Mengenai diabetes

Penyakit diabetes atau lebih mudah dikenali sebagai kencing manis ini bukan sahaja dihidapi oleh golongan yang berusia, malah saban tahun ia semakin menular tanpa mengira usia dan jantina termasuk kanak-kanak dan remaja.

Kencing manis secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi.

Turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) dalam kalangan warga perubatan, penyakit diabetes ini boleh dibahagikan kepada tiga subkategori utama, iaitu:

Diabetes Mellitus jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus, T1DM)

Merupakan diabetes yang paling kerap berlaku dalam kalangan individu kanak-kanak dan juga remaja.

Ia adalah sejenis penyakit kronik yang berkait rapat dengan pelbagai komplikasi seperti retinopati, nefropati, neuropati dan juga morbiditi berkaitan dengan sistem kardiovaskular.

Menurut kajian-kajian yang telah dilakukan, kawalan gula dalam darah yang baik dan awal adalah penting dalam mengurangkan kekerapan berlakunya komplikasi berkaitan dengan kencing manis yang kronik.

Diabetes Mellitus jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus,T2DM)

Adalah satu penyakit diabetes yang kerap berlaku dalam kalangan individu dewasa.

Ia merupakan penyakit kronik yang cukup lazim dan semakin meningkat insidennya di seluruh dunia.

Diabetes jenis 2 ini banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan juga peranan kecenderungan genetik seseorang itu.

Lazimnya, penyakit diabetes ini dizahirkan melalui keadaan paras gula dalam darah yang tinggi (hyperglycaemic state) yang kronik bersama gangguan metabolik yang lain.

Diabetes Mellitus ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus, GDM)

Gestational diabetes mellitus (GDM) merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil.

Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan.

Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran.

Diabetes ini boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal.

Simptom diabetes

1. Paras gula dalam darah tinggi

Cara terbaik untuk mengetahui tahap gula dalam darah adalah dengan menjalani pemeriksaan.

Paras gula dalam darah yang meningkat selepas makan adalah sesuatu yang normal.

Tetapi sekiranya tahap gula dalam darah yang tinggi ini tidak menurun dan berterusan sepanjang hari, ia adalah sesuatu yang tidak normal.

2. Kehilangan berat badan

Antara simptom yang mungkin berlaku adalah berat badan yang semakin berkurangan.

Tahap gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan kehilangan berat badan dalam jangka masa yang singkat, antara 2 hingga 3 kilogram dalam masa 2 atau 3 bulan.

Jika anda sememangnya sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan, mungkin anda akan berasa gembira. Tetapi hakikatnya kehilangan berat badan ini bukanlah sesuatu yang menyihatkan.

3. Sentiasa lapar

Seorang individu yang menghidap penyakit kencing manis tidak mempunyai insulin atau tidak bertindak balas terhadap insulin seperti kebiasaan, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa, lalu ia boleh menyebabkan tahap gula dalam darah merosot.

Apabila keadaan ini berlaku, di mana tahap gula dalam darah menurun secara tiba-tiba, badan akan menganggap bahawa anda kelaparan dan memerlukan lebih glukosa untuk berfungsi.

Isyarat ini akan diterjemahkan sebagai satu tanda lapar oleh badan.

Rasa lapar yang berterusan adalah antara simptom kencing manis yang boleh diperhatikan.

4. Kerap dahaga dan kencing

Antara simptom diabetes yang boleh berlaku adalah anda akan kerap berasa dahaga walaupun setelah mengambil minuman yang mencukupi.

Anda juga akan kerap untuk ke bilik air pada waktu malam.

Keadaan ini berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, sekali gus memaksa buah pinggang anda bekerja dengan lebih keras untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut.

Ini akan membuatkan anda menjadi kerap membuang air kecil, adakalanya ia akan berlaku beberapa kali pada waktu malam.

Kekerapan untuk kencing ini akan membuatkan anda untuk menjadi lebih dahaga.

5. Keletihan, gangguan emosi

Ketika badan anda sedang mencuba untuk mengimbangi kekurangan glukosa, ia akan memberikan impak kepada anda, di mana keadaan ini akan menjadikan anda keletihan.

Anda perlu bangun untuk membuang air kecil beberapa kali pada waktu malam, secara tidak langsung akan menyebabkan gangguan pada tidur anda dan keletihan pastinya akan mendatangkan gangguan kepada emosi, boleh menjadikan anda lebih cepat marah.

6. Luka lambat sembuh

Ini adalah simptom yang paling sering berlaku.

Keadaan ini boleh terjadi disebabkan saluran darah yang rosak kerana glukosa yang berlebihan bergerak di dalam urat dan arteri.

Ia mendatangkan kesukaran kepada darah yang diperlukan untuk membantu proses penyembuhan sampai kepada anggota-anggota badan yang diperlukan.

Biasanya melibatkan dua keadaan, iaitu penyakit vaskular periferi dan neuropati diabetes.

7. Penglihatan kabur

Apabila tahap glukosa dalam darah adalah tinggi, ia mengubah bentuk kanta dan mata.

Keadaan ini akan menyebabkan penglihatan anda menjadi kabur.

Bagaimanapun keadaan ini boleh menjadi normal atau hampir normal apabila tahap gula dalam darah bertukar kepada asal.

Tahap gula darah yang tinggi, jika dibiarkan untuk tempoh yang panjang, cenderung untuk menyebabkan kerosakan kekal dan berisiko untuk menyebabkan buta.

8. Jangkitan

Simptom ini lebih berlaku kepada individu wanita. Anda perlu lebih berhati-hati kepada risiko jangkitan yis pada faraj.

Diabetes secara umumnya akan melemahkan imunisasi badan, ini bermakna anda akan mudah untuk mendapat pelbagai jangkitan lain.

Mengapa luka lambat sembuh?

Seperti yang dinyatakan di dalam senarai simptom bagi penyakit diabetes ini, pesakit yang menghidapi masalah kesihatan ini akan berdepan dengan situasi luka yang lambat untuk baik dan sembuh. Tetapi mengapakah keadaan ini berlaku?

Luka yang dialami oleh pesakit diabetes akan mengambil masa penyembuhan yang lebih lama berbanding dengan luka yang terjadi kepada individu sihat.

Bahkan jika tidak ditangani dengan kaedah yang betul, luka pesakit diabetes berisiko untuk merebak hingga berakhir dengan pemotongan anggota badan yang terlibat.

Antara sebab mengapa luka yang berlaku sukar untuk sembuh adalah kerana kadar gula dalam darah pada badan pesakit adalah terlalu tinggi.

Keadaan ini sekali gus cenderung untuk merosakkan dan mengganggu fungsi saraf, mengurangkan sistem imunisasi badan dan mengakibatkan proses aliran darah menjadi kronik, dan melambatkan proses penyembuhan jaringan sel dan tisu badan yang terluka serta mengalami kerosakan.

Keadaan ini akan mengakibatkan luka akan tetap terbuka, berdarah serta susah untuk disembuhkan. Luka yang sukar untuk sembuh berisiko untuk menyebabkan pesakit lebih berisiko untuk terdedah kepada jangkitan kulat, jangkitan bakteria dan gangren.

Bagaimana merawat luka yang dialami?

Bagi mengelakkan risiko luka untuk menjadi lebih serius dan kronik, berikut adalah beberapa kaedah rawatan luka bagi pesakit diabetes, iaitu:

Bersihkan luka

Langkah pertama yang harus dilakukan untuk merawat luka bagi pesakit kencing manis adalah dengan membersihkan luka dengan segera.

Anda boleh memilih untuk membersihkan luka dengan air yang mengalir dan sabun atau sebarang pencuci antiseptik.

Kemudian, pastikan luka itu dilap dengan kering dan sapukan krim sapu antibiotik yang disarankan oleh doktor supaya luka bebas daripada jangkitan kuman.

Pastikan anda kerap menukar kain balutan luka agar ia sentiasa dalam keadaan bersih.

Kurangkan tekanan pada luka

Hindari dari memberikan tekanan yang berlebihan pada kawasan atau bahagian yang mengalami luka, seperti dengan mengelakkan pemakaian pakaian yang terlalu ketat.

Mengurangkan tekanan dapat membantu luka untuk lebih cepat pulih dan baik.

Jika anda mengalami luka pada bahagian tapak kaki, disarankan untuk menggunakan kusyen lembut atau kasut khas bagi mencegah masalah yang lebih teruk disebabkan diabetes.

Mengawal tahap gula dalam darah

Kandungan tahap gula dalam darah yang tidak terkawal pastinya akan merumitkan lagi proses penyembuhan luka.

Oleh itu, adalah amat penting untuk mengawal paras gula dalam darah dengan mengamalkan diet pemakanan yang sihat untuk diabetes, senaman, pengambilan ubat antidiabetes, dan suntikan insulin, sekiranya diperlukan.

Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah mengawal dan penjagaan tahap gula dalam darah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]