Mahkamah akan umum keputusan inkues Adib 27 September

Muhammad Adib Mohd Kassim ialah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 27 September ini untuk mengumumkan keputusan ke atas inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner, Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu untuk menyampaikan keputusannya ketika sebutan semua kes itu pada hari ini.

“Inkues kini ditutup dan selepas hujah difailkan, mahkamah menetapkan pagi 27 September ini untuk menyampaikan keputusannya.”

Inkues itu bermula 11 Februari lalu, susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian Adib.

Mahkamah mengambil 41 hari untuk mendengar keterangan semua saksi dan pakar.

Rofiah mengakhiri prosiding inkues pada 24 Julai lalu selepas mendapati keterangan saksi mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.