Mahkamah tetapkan 15 Oktober dengar tuntutan imuniti bekas pengarah AIAC

N Sundra Rajoo mengetuai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia dari 2010 hingga akhir 2018. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Oktober ini untuk mendengar permohonan bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), N Sundra Rajoo yang peguam negara tidak boleh memfailkan pertuduhan jenayah terhadapnya.

Peguam, K Shanmuga yang mewakili Sundra berkata tarikh itu ditetapkan Hakim Mariana Yahya yang ditugaskan untuk mendengar permohonan itu.

“Hakim turut membenarkan permohonan kami untuk mengubah satu pernyataan untuk memasukkan sebab tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakiman itu,” katanya kepada wartawan selepas pengurusan kes itu di kamar hakim.

Peguam Persekutuan, M Kogilambigai mewakili Peguam Negara, Tommy Thomas.

Pada 23 Mei lalu, panel 3 hakim yang dipengerusikan Abdul Rahman Sebli berkata, seorang hakim melakukan kesilapan ketika menolak permohonan kebenaran Sundra bagi semakan kehakiman.

“Hakim itu bertindak terlalu awal ke atas merit semakan kehakiman apabila perkara itu hanya di peringkat permohonan kebenaran,” kata Rahman yang kini hakim Mahkamah Persekutuan.

Panel itu mengarahkan permohonan Sundra Rajoo didengar di depan hakim baru.

Hakim Nordin Hassan ketika menolak permohonan kebenaran Sundra Rajoo pada 26 Mac lalu, berkata permohonan Sundra tidak boleh dipertimbangkan untuk semakan kehakiman kerana peguam negara mempunyai budi bicara tidak terhad di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berhubung hal pendakwaan.

Sundra yang mengetuai AIAC dari 2010 hingga hujung tahun lalu, memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 4 Mac lalu bagi memohon perisytiharan beliau layak dilindungi daripada tindakan yang diambil atas kapasiti rasminya.

Beliau turut memohon perisytiharan yang imuniti itu tidak boleh dibatalkan di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992, serta tiada pemangku pengarah atau mana-mana pegawai AIAC boleh melucutkn imuniti berkenaan.

Sundra mendakwa beliau mempunyai kekebalan kerana pusat itu ditubuhkan pada 1978, susulan perjanjian Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO).

Beliau cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang peguam negara mendakwanya atas sebarang tindakan ketika menjadi pengarah AIAC.

Pada 26 Mac lalu, Sundra turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis AIAC di Jalan Sultan Hishamuddin di sini antara 17 Ogos dan 8 Disember tahun lalu.

Perbicaraan itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan bagi permohonan semakan kehakiman ini.