Mufti Perak gesa kerajaan jangan tunduk pada kumpulan minoriti seperti Dong Zong

Mufti Perak, Harussani Zakaria. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mufti Perak, Harussani Zakaria berkata kerajaan tidak patut tunduk kepada kumpulan minoriti seperti Dong Zong yang sering membantah dasar kerajaan demi menjaga kepentingan umum.

Katanya, isu itu tidak perlu dipanjangkan dan beliau yakin matlamat asal pengenalan tulisan jawi bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai tahun depan, sudah mengambil kira objektif serta keperluan menyeluruh untuk kebaikan rakyat dan negara.

“Sampai bila kita harus tunduk kepada tekanan pihak-pihak minoriti dalam memelihara kepentingan umum yang lebih utama dan kritikal?” katanya dalam kenyataan semalam.

“Saya mengharapkan ketegasan dan kebertanggungjawaban pihak kerajaan dalam menangani sesuatu perkara yang menimbulkan keresahan dan penerapan konsep Rahmatan Lil Alamin yang sering diuar-uarkan perlulah dilaksanakan secara menyeluruh.”

Baru-baru ini, Dong Zong mahu melancarkan satu petisyen terhadap pengenalan tulisan jawi yang turut disokong kumpulan pendidikan Tamil berdasarkan “penyelidikan beberapa cendekiawan dan pakar kesusasteraan” yang menunjukkan tulisan itu digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.

Susulan itu, Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana kumpulan pendidikan Cina itu tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan.

Dua petisyen, termasuk satu daripada Pemuda PPBM dilancarkan baru-baru ini untuk mendesak kerajaan mengharamkan Dong Zong.

Sementara itu, Harussani berkata, isu membabitkan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik yang didesak pulang ke India ialah salah persepsi dan sentimen kurang senang golongan ekstremis, termasuk Hindraf.

Katanya, beliau menghargai sumbangan dan kepakaran Naik dalam dakwah Islamiah dan pemberian status penduduk tetap kepadanya tentu dinilai kerajaan dengan kriteria rasional serta munasabah.

“Adalah tidak wajar kita bersama-sama menyahut seruan menghalau beliau pulang semata-mata meraikan dan mengikut rentak kebencian pihak-pihak tertentu.

“Beliau adalah tetamu dan saudara seagama kita yang perlu diraikan berasaskan nilai ukhwah dan nilai kemanusiaan yang sekiranya terdapat kekhilafan, maka langkah pembetulan perlu diambil yang tidak sampai ke tahap pengusiran.

“Jika status penduduk tetapi Naik dituntut untuk disemak semula atas salah persepsi daripada ucapan beliau yang dikatakan menyemai kebencian kaum dan agama, bagaimana pula dengan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) P Waytha Moorthy yang menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah berhubung situasi orang bukan Islam, terutama kaum India di Malaysia?”

Naik dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman pada Jumaat lalu dan Isnin lalu, selepas lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya mendakwa penganut Hindu lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendran Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad dan kaum Cina di Malaysia ialah “tetamu lama”.

Selepas disoal siasat polis selama 10 jam pada 19 Ogos lalu, Naik memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataannya dipetik luar konteks.

Harussani turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap taikun, Koon Yew Yin yang menghina anggota tentera.

“Ia perbuatan paling tidak beradab dilakukan warga yang mendapat nikmat keamanan dan kekayaan daripada jerih payah pihak-pihak yang diperlekehkan.

“Saya menyokong ucapan tegas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menyatakan sesiapa saja yang menghina ATM, dia adalah musuh negara.”

Hartawan terkenal itu dipanggil polis Isnin lalu susulan laporan dibuat terhadapnya yang mendakwa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa, kecuali makan dan tidur”.

“Sebenarnya, hampir semua (daripada) mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan di papan sasaran. Sebahagian perlu menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” tulisnya di blognya pada 14 Ogos lalu.

Koon memohon maaf selepas menerima tekanan pelbagai pihak, termasuk Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.