NGO disiasat atas dakwaan salah guna dana awam bantu pelajar India

Seorang individu meminta SPRM menyiasat 10 syarikat yang dikaitkan dengan pengarah dan penasihat sebuah NGO didakwa menyalahgunakan RM66.8 juta dana kerajaan.

PETALING JAYA: FMT difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat sebuah kumpulan sukarelawan terkenal yang terbabit dalam meningkatkan tahap pendidikan pelajar India di negara ini atas dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan.

Sumber yang dikaitkan dengan siasatan itu mengesahkan ia bermula dengan sepucuk surat yang dihantar kepada ketua pesuruhjaya agensi anti-rasuah itu berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan berjumlah RM66.8 juta yang diberikan kepada pusat berkenaan sejak 2008 hingga 2017.

Surat bertarikh 17 Julai lalu yang dihantar seorang individu tidak mahu dikenali kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, itu dilihat FMT.

Individu yang mendakwa wang itu disalahgunakan, menggesa SPRM menghubungi ketua semua 45 sekolah yang didakwa melaksanakan program pembangunan pelajar untuk mengetahui keadaan sebenar.

Surat itu turut meminta SPRM menyiasat 10 syarikat yang dikaitkan dengan pengarah dan penasihat NGO berkenaan.

Satu salinan surat itu dihantar kepada perdana menteri, menteri kewangan, menteri dalam negeri, menteri hal ehwal ekonomi, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal perpaduan negara, peguam negara, ketua hakim dan ketua polis negara.

Jurucakap NGO itu ketika dihubungi berkata, mereka sedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM, tetapi agensi anti-rasuah terbabit belum menghubungi mereka.