Pakar puji cadangan perkenal khidmat e-hailing motosikal

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook semalam berkata, cadangan memperkenalkan Gojek di Malaysia akan dibincangkan dalam Kabinet. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Pakar pengangkutan menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memperkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal Gojek di Malaysia.

Perunding yang mempunyai 40 tahun pengalaman, Rosli Azad Khan, berkata perkhidmatan itu boleh didapati di banyak negara di rantau ini dan mampu meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan 40% terendah (B40).

Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, cadangan memperkenalkan Gojek di Malaysia akan dibincangkan dalam Kabinet.

Ini susulan kenyataannya di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2018 yang Putrajaya tidak berhasrat meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal di negara ini dalam masa terdekat demi melindungi keselamatan penunggang dan pembonceng kerana kadar tinggi kemalangan motosikal di seluruh negara selama ini.

Tetapi, Rosli berkata, kadar tinggi kemalangan akan kekal tidak kira perkhidmatan perkongsian motosikal dilaksanakan atau tidak.

“Kemalangan berlaku kerana kurang kesedaran menunggang dengan selamat. Sudahkah kerajaan menjalankan kajian untuk melihat jika pemilik kereta persendirian atau teksi lebih banyak terbabit dalam kemalangan. Ia adalah logik sama.

“Saya percaya perkhidmatan seperti Gojek akan menjadi insentif kepada penunggang motosikal untuk menunggang secara lebih selamat kerana mereka perlu memikirkan keselamatan pembonceng disebabkan ia boleh menjejaskan pendapatan mereka.”

Rosli berkata, tambang Gojek mungkin lebih murah daripada Grab dan ia boleh menjadi perkhidmatan pengantara untuk membawa orang ramai ke stesen pengangkutan awam lain seperti MRT dan LRT.

“Dari segi undang-undang, kita tidak perlu mencari kaedah lain. Kita boleh lihat bagaimana Indonesia melaksanakannya dan ubah ikut keperluan kita.”

Pengarah Strategik Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan menyifatkan cadangan memperkenalkan motosikal dalam industri perkongsian kenderaan ialah langkah baik kerana ia lebih mudah diperolehi penumpang dan pengendali pengangkutan awam serta lebih murah dari segi tambang dan kos operasi.

Tetapi, bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat itu berkata, infrastruktur dan dasar lebih baik diperlukan sebelum kerajaan memperkenalkan perkhidmatan itu.

“Di Jakarta, di mana Gojek digunakan secara meluas, kadar kemalangan adalah rendah disebabkan kesesakan trafik teruk, bermakna motosikal tidak boleh bergerak laju walaupun mereka mahu.

“Jika kita mahu melaksanakannya di sini, kita perlu tumpu kepada jarak operasi perkhidmatan itu yang bermakna mengehadkan jarak perjalanan motosikal.”

Katanya, pihak berkuasa perlu menyediakan laluan motosikal berasingan bagi memastikan keselamatan pembonceng.

“Perlu ada sistem penguatkuasaan serta pemantauan dan ia boleh menggunakan teknologi seperti pengesan GPS dan kamera topi keledar bagi penunggang serta pembonceng.”

Pada 2017, kerajaan mengharamkan perkhidmatan perkongsian motosikal tempatan, Dego Ride kerana bimbang terhadap keselamatan penumpang dan pembonceng.

Kementerian Pengangkutan dilaporkan berkata, satu analisis mendapati risiko penunggang motosikal terbabit dalam kemalangan maut ialah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali lebih tinggi daripada kereta.