Pembantu Adun Balakong terima keris dikirim ke rumah

Adun Balakong, Wong Siew Ki (2 dari kiri) bersama pembantu politiknya (2 dari kanan) menunjukkan keris yang dihantar ke rumahnya semalam. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pembantu politik Adun Balakong menerima ugutan melalui sampul surat yang mengandungi sebilah senjata tajam daripada individu tidak dikenali, disyaki ada kaitan dengan kempen membantah tulisan jawi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 42 tahun itu pada 5.15 petang semalam yang menerima sampul surat dialamatkan ke rumahnya di Kajang.

Beliau berkata, pembantu Adun itu tidak pasti atau mengenali individu yang menghantar sampul surat itu kerana tidak pernah menerima sebarang ugutan.

“Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Md Fahrul Afifi di talian 014-3700870.

Dzaffir mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Saya menyeru masyarakat tidak membuat kenyataan yang boleh membangkitkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan permusuhan dengan niat jahat.”