Polis buru ‘penguatkuasa’ tampar pekerja pub, kata laporan

Tangkap layar video menunjukkan seorang lelaki menampar pekerja sebuah pub di USJ Sentral 3 pada 16 Ogos lalu.

PETALING JAYA: Polis sedang mencari seorang lelaki yang mendakwa dirinya penguatkuasa yang dikatakan menampar seorang pekerja pub di Subang Jaya beberapa kali, selepas diminta meninggalkan premis itu berdasarkan waktu operasinya.

Menurut buletin komuniti Subang Jaya, SJ Echo, kejadian itu berlaku minggu lalu selepas pekerja asing berkenaan memberitahu lelaki terbabit dan individu lain bersamanya, pub itu akan ditutup pada malam itu.

Kejadian itu berlaku kira-kira 1 pagi.

Rakaman CCTV kejadian itu di sebuah pub di USJ Sentral 3 menunjukkan lelaki terbabit bercakap dengan pekerja berkenaan sebelum menamparnya beberapa kali sehingga menyebabkan beliau terhuyung-hayang.

Lelaki itu kemudiannya menarik pekerja itu ke arahnya semula dan mengeluarkan sesuatu dari poketnya dan menunjukkan benda kelihatan seperti lencana kepada mangsa, sebelum menamparnya lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Amihizam Abdul Shukor mengesahkan kejadian itu dan berkata salah seorang pemilik pub itu sudah membuat laporan polis.

“Pemilik itu berkata pekerjanya memaklumkan pelanggan yang pub itu akan ditutup berdasarkan waktu operasi mereka.

“Pemilik itu segera bergegas ke premisnya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu. Apabila beliau menghampirinya, pelanggan itu mengugut akan membawa sepasukan penguatkuasa untuk menutup pub itu.”

Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan orang serta itimidasi jenayah.

Amihizam berkata, pekerja terbabit tidak lagi ke pub berkenaan sejak kejadian pada 16 Ogos itu.