Polis siasat punca kebocoran maklumat rahsia

PETALING JAYA: Polis hari ini mengumumkan siasatan bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat rahsia di WhatsApp.

Ketua Komunikasi Korporat, Asmawati Ahmad berkata siasatan dijalankan bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara 1 tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan mendedahkan maklumat.

“Polis mengesan maklumat rasmi berklasifikasi ‘rahsia’ yang dikongsi dan disebarkan melalui rangkaian WhatsApp oleh pihak-pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis meminta mana-mana pihak yang ada dalam miliknya, apa jua maklumat terkelas yang diterima dari mana-mana pihak melalui apa jua cara, hendaklah tidak berkongsi atau menyebarkannya.

“Mereka juga diminta untuk tampil membantu siasatan yang dijalankan bawah Seksyen 203A (1), bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat tersebut,” katanya.