Roti John Titiwangsa dengan kelainan menyelerakan

Roti John yang disalut telur dan isi ayam, daging atau tuna dengan sos berbeza ialah makanan yang tidak asing lagi di Malaysia.

Demi mencari kelainan, peniaga perlu menggunakan kreativiti tersendiri untuk mencuri perhatian dan selera pelanggan.

Begitu juga Mohd Amri Osman, 46, yang memulakan perniagaan Roti John Titiwangsa 6 tahun lalu bersama isteri dan 4 anaknya.

Tanpa perlu mengeluarkan modal besar, beliau kini mampu menjana pendapatan kira-kira RM2,000 setiap hari.

Dianggarkan 1,000 biji telur digunakan setiap hari bagi menyediakan roti john terbaik.
Roti yang disaluti telur disediakan mengikut citarasa pelanggan.

Tetapi, apakah rahsia Roti John Titiwangsa yang terletak di Kampung Datuk Keramat, dekat “mercu tanda” Pasar Keramat dan UTC Keramat sehingga mampu menjadi viral sejak tahun lepas?

Keistimewaannya terletak pada hidangan sampingan seperti kentang goreng, sosej atau keju bersama sos cili dan mayonis meleleh mengikut pilihan masing-masing.

Dengan topping kentang goreng dan sos cili serta barbeku dan mayonis ternyata menggiurkan siapa sahaja yang melihat.

Pelanggan juga boleh memilih roti saiz panjang atau pendek dengan perbezaan RM3.

Selain “Roti John Special”, pelanggan yang mahu menukar selera boleh mencuba “Chicken Chop Special” bersalut telur dan keju.

‘Chicken Chop special’ disaluti cheese dan telur ternyata memberi kelainan dari segi rasa.

Amri memperuntukkan kira-kira 1,000 biji telur ayam untuk perniagaannya setiap hari disamping mewujudkan sistem tempahan serta pengambilan makanan secara sistematik memandangkan sambutan hangat warga kota.

Pun begitu, pelanggan masih perlu beratur panjang dan ini bukti tarikan serta kejayaan Roti John Titiwangsa.

Mereka yang ingin merasai keenakan Roti John Titiwangsa boleh bertandang ke:

13, Jalan Keramat,
Kampung Datuk Keramat,
54000, Kuala Lumpur.
Waktu beroperasi : 4 petang – 12 tengah malam

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]