Siti Hasmah suara toleransi, kebersamaan, kata badan pemikir

PETALING JAYA: Badan pemikir Institut Strategi dan Kepimpinan Asia malam tadi memberi penghormatan kepada Dr Siti Hasmah Mohd Ali kerana menjadi suara toleransi dan kebersamaan ketika negara dilanda kontroversi sekitar isu kaum dan agama.

Pengerusi Jeffrey Cheah berkata isteri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakap nilai-nilai hidup seperti toleransi, belas kasihan, integriti, kebersamaan dan empati, nilai-nilai yang menyentuh orang ramai.

“Nilai-nilai hidup itu bergema dalam kalangan rakyat ketika sesetengah pihak menggunakan naratif kaum dan agama untuk memisahkan kita,” katanya sebelum mengurniakan gelaran “Ibu Negara” kepada Siti Hasmah.

Mahathir turut menghadiri acara malam tadi.

Beberapa isu kaum dan agama menjadi perhatian akhbar baru-baru ini, seperti bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi di sekolah-sekolah aliran dan kenyataan penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.

Cheah berkata bahasa dan pemikiran permusuhan sememangnya menyinggung dan mengganggu.

“Disebalik semua itu, kami lega dengan adanya Siti Hasmah, kita ada contoh dan suara berpengaruh dalam menegakkan nilai-nilai toleransi, penerimaan dan kebersamaan.

“Beliau seorang ikon yang menjadi ilham kepada kita untuk meraikan kepelbagaian kita sebagai bangsa yang berbilang budaya, berbilang kaum dan berbilang agama.”

Sementara itu, Siti Hasmah ketika menerima gelaran itu berterima kasih kepada rakan-rakan di universiti kerana menjadi panduannya.

“Saya tidak sepatutnya menerima penghormatan ini kerana terdapat ramai lagi orang yang membantu saya menjadi diri saya hari ini.”